KOTA KINABALU, 9 Ogos – Orang ramai perlu diberikan penjelasan yang jelas mengenai kematian seorang pelajar yang menjadi perhatian umum, selagi ia tidak mengganggu proses siasatan.
Seorang bekas pegawai berpengalaman dalam kes seumpama ini berkata, langkah tersebut penting bagi mengelakkan tuduhan melulu dan spekulasi tidak berasas di media sosial.
Beliau berkata, walaupun Jabatan Peguam Negara telah mengeluarkan kenyataan semalam, masih wujud kekaburan mengenai situasi sebenar yang berlaku sehingga menimbulkan persepsi negatif daripada pelbagai pihak.
“Sepanjang pengalaman saya berdepan kes seperti ini, kematian yang bukan normal memerlukan prosedur siasatan lebih mendalam sebelum permit pengebumian dikeluarkan,” katanya.
Menurut beliau, laporan menunjukkan mangsa ditemui tidak sedarkan diri, dibawa ke hospital, dan meninggal dunia keesokan harinya, sekali gus mengesahkan kematian berlaku ketika berada di bawah pengendalian pihak hospital.
Beliau menjelaskan bahawa selepas kematian, pegawai perubatan bertanggungjawab menjalankan pemeriksaan dan siasatan menyeluruh bagi memastikan punca serta sebab kematian. Pegawai perubatan boleh memilih untuk melakukan post-mortem luaran atau autopsi penuh bergantung pada penilaian, sebelum sijil kematian dikeluarkan.
Tambahnya Pemeriksaan fizikal kadangkala mencukupi untuk menentukan punca kematian. Namun, pembedahan akan dilakukan sebagai sebahagian daripada proses post-mortem. Pembedahan bukan kewajipan mutlak, tetapi pegawai perubatan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan tersebut kerana ia akan direkodkan sebagai sebab kematian rasmi.
Bagi pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula, sekiranya siasatan atau laporan mendapati terdapat unsur jenayah atau syak wujudnya perbuatan jenayah, polis wajib mengeluarkan arahan supaya post-mortem dilakukan kerana ia melibatkan kematian bukan normal.
Polis juga berhak menyoal semula pegawai perubatan yang mengendalikan kes berkenaan dan memohon agar post-mortem dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Sekiranya siasatan polis menemukan maklumat baharu yang memerlukan post-mortem, proses tersebut mesti dilakukan sebelum permit pengebumian dikeluarkan.
Kes ini menjadi perhatian selepas keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, mendakwa tidak berpuas hati dengan punca kematian beliau pada 17 Julai lalu.
Peguam keluarga, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, berkata pihak polis sepatutnya melakukan bedah siasat terhadap mayat Zara bagi membantu siasatan. “Bedah siasat akan membantu pihak polis menentukan punca sebenar kematian Zara,” menurut kenyataan itu.
Susulan itu, laporan polis tambahan dibuat pada 30 Julai di Balai Polis Sipitang, termasuk permohonan agar kubur Zara digali semula bagi membolehkan inkues dijalankan.
Untuk rekod, Zara dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar sebelum disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu. Kejadian tersebut mencetuskan tanda pagar #JusticeForZara di media sosial, yang menuntut siasatan telus dan menyeluruh.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, berkata setakat ini, seramai 60 individu telah dipanggil memberi keterangan, termasuk tiga pelajar senior yang dikenali sebagai “Kak Wana”, “Kak Dedeng” dan “Tomboi” yang turut dikaitkan dalam kes itu.
Sementara itu, peguam keluarga memaklumkan bahawa permohonan untuk menggali kubur Allahyarham akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar hari ini, dengan penggalian dijangka dilakukan pada sebelah petang selepas perintah diperoleh.