HomeUtamaMUIS, UM dan JHEAINS perkukuh program khas bahasa arab di Sabah

MUIS, UM dan JHEAINS perkukuh program khas bahasa arab di Sabah

Read Time:1 Minute, 50 Second

Kuala Lumpur: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Universiti Malaya (UM) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) menjalin kerjasama strategik dalam memperkukuh pelaksanaan Program Khas Bahasa Arab (PKBA) di Sabah.

Kerjasama strategik itu dimeterai menerusi Memorandum Perjanjian (MoA) yang ditandatangani dalam satu majlis berlangsung di Pusat Pengajian Islam UM di sini pada Jumaat.

Setiausaha MUIS, Datuk Ramlan Awang Ali berkata, program yang diperkenalkan sejak 1995 itu telah melahirkan lebih 650 graduan, kebanyakannya kini berkhidmat sebagai guru, pensyarah, pegawai agama serta terlibat dalam pentadbiran dan penyusunan dasar Islam di pelbagai peringkat.

Katanya, kerjasama strategik itu mencerminkan komitmen semua pihak untuk melahirkan generasi muda berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

Menurutnya,  sejak 2002, MUIS telah menaja pelajar PKBA termasuk yuran pengajian, penginapan, dermasiswa, elaun sara hidup dan bantuan kebajikan lain, selain membuka peluang melanjutkan pengajian ke peringkat pascasiswazah.

“Ini membuktikan bahawa kita bukan sekadar mahu melahirkan graduan, tetapi membina rantaian keilmuan Islam yang mampu menyumbang secara lestari kepada pembangunan negeri.

“Kami juga amat menghargai peranan JHEAINS dalam menyelaras pemilihan pelajar-pelajar PKBA, terutamanya dari Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) serta sekolah-sekolah agama lain di seluruh Sabah. 

“JHEAINS telah memainkan peranan  penting dalam memastikan pelajar yang berpotensi diberi peluang, dan seterusnya membentuk laluan akademik yang jelas untuk mereka,” katanya.

Hadir sama pada majlis itu Yang Dipertua MUIS Datuk Seri Yahya Hussin; Timbalan Yang Dipertua MUIS Datuk Malai Ali Malai Ahmad dan Pengarah JHEAINS Datuk Jumain Abdul Ghani.

Ramlan berkata, universiti itu bukan sekadar menawarkan pendidikan, tetapi menyediakan kurikulum dan persekitaran akademik yang kondusif bagi membentuk pelajar PKBA menjadi insan yang holistik dari sudut ilmu dan sahsiah.

Katanya, pihaknya turut berharap agar pertambahan bilangan pelajar PKBA kepada 50 orang mulai 2023 selain penyelarasan yang sewajarnya dapat terus diperkukuh dari sudut pengurusan kelas, nisbah pensyarah dan pelajar, serta kebajikan menyeluruh pelajar.

“Sebagai tambahan, kami ingin menyatakan hasrat agar pengambilan pelajar PKBA selepas ini dapat merangkumi setiap daerah  di  seluruh  Sabah.  

“Kita  mahu  program  ini  menjadi jambatan yang menyatukan seluruh pelosok negeri dari Pitas hingga ke Sipitang, dari Kunak hingga ke Kota Belud dalam misi besar membentuk generasi pelapis agama dan bangsa yang berdaya saing serta berwibawa,”‘katanya. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular