Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Penyertaan Orkestra Keroncong Asrama Malaysia Sabah (ORKAMS) dari Maktab Sabah dalam Solo Keroncong Festival (SKF) 2025 terus mengangkat nama Malaysia apabila mereka tampil cemerlang di pentas antarabangsa pada acara yang berlangsung selama dua hari 26 hingga 27 Julai lalu di Benteng Vastenburg, Surakarta, Indonesia.

Dianjurkan sejak 2009 oleh Pemerintah Kota Surakarta, SKF kini diiktiraf sebagai acara antarabangsa di bawah program Kharisma Event Nusantara (KEN) oleh Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia.
Edisi kali ini bertemakan “Hangudi Kuncaraning Keroncong” yang membawa maksud mempertahankan dan mengembangkan muzik keroncong. Ia menghimpunkan artis solo dan kumpulan dari Indonesia dan luar negara termasuk Malaysia.
Jurulatih muzik ORKAMS, Shaafri Sakin, berkata penglibatan pelajar-pelajarnya dalam festival itu bukan sahaja memperkukuh kemahiran muzik keroncong, malah turut memartabatkan warisan budaya bangsa.
“Melalui pendedahan bermain muzik keroncong di luar negara, mereka bukan sahaja berjaya memperkukuh kemahiran bermain muzik, khususnya dalam muzik keroncong, malah turut mengharumkan nama negara.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa Maktab Sabah bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah unggul dalam bidang kokurikulum berasaskan seni dan budaya, sekali gus memperkukuh lagi status kebitaraan sekolah ini,” katanya ketika dihubungi Chronivo baru-baru ini.
Shaafri turut merakamkan penghargaan kepada pihak pentadbiran sekolah khususnya Pengetua Maktab Sabah, Suhaimi Basri, serta Jabatan Pendidikan Negeri Sabah atas kepercayaan berterusan terhadap usaha pengembangan bakat pelajar melalui bidang seni dan budaya.
Seramai 18 pelajar dan lapan guru termasuk dua jurulatih muzik menyertai rombongan Maktab Sabah ke SKF 2025, mewakili Malaysia bersama lebih 20 kumpulan pemuzik dari pelbagai wilayah Indonesia dan beberapa negara lain.
Rombongan tersebut diketuai oleh Siti Fatimah Rasmin selaku ketua rombongan, manakala Halmi @ Along Ghani bertindak sebagai pengurus pasukan.
Selain Shaafri, seorang lagi jurulatih muzik, Glarie Listra David turut serta memainkan peranan penting dalam membimbing serta menyelaras persembahan pelajar sepanjang festival.
Turut mengiringi rombongan ialah guru pengiring Wong Siew Ying, Muhammad Alfian Aliff Salim, Elivianana Kubin dan Dewi Masayu Sugindi.
Pada festival itu, ORKAMS mempersembahkan gabungan lagu langgam klasik “Solo Diwaktu Malam” serta tiga buah lagu kontemporari yang digubah semula dalam gaya keroncong iaitu “Fantasia Bulan Madu”, “Wajahmu Di Mana-Mana” dan “Nona Zaman Sekarang”, termasuk persembahan duet bersama Beavelyncia Wilfred.
Kemuncak persembahan menyaksikan kolaborasi ORKAMS dengan artis Malaysia, Rozita Rohaizad, yang membawakan lagu “Anak Ikan” dan “Zapin Rinduan” dalam susunan istimewa yang mendapat sorakan gemuruh daripada lebih 5,000 penonton.
Pemain double bass ORKAMS, Lance Feivel Lingam, berkata pengalaman menyertai festival muzik antarabangsa ini sangat membuka mata.
“Saya mula didedahkan kepada muzik keroncong di sekolah melalui latihan intensif dan berstruktur yang dikendalikan oleh Cikgu Shaafri.
“Kita harus bijak mengurus masa supaya tidak terlalu letih dan pelajaran tidak terjejas. Saya belajar banyak tentang disiplin ini ketika bersama pasukan keroncong sekolah,” katanya.
Lance dan pasukan ORKAMS turut menyertai bengkel bersama beberapa maestro keroncong Indonesia seperti Pak Nur dan Pak Sigit.
“Antara pesanan Pak Nur yang paling memberi kesan kepada saya ialah walaupun kita sudah berada di tahap tinggi, kita tidak boleh sombong. Sebaliknya, kita perlu terus belajar dan berkongsi ilmu dengan mereka yang baharu dalam bidang ini,” tambahnya.
Pemain alat muzik cak ORKAMS, Alter Makius, turut berkongsi rasa bangga kerana dapat beraksi di pentas antarabangsa.
“Saya berasa bangga sebab dapat bermain muzik keroncong di festival peringkat antarabangsa. Ramai penonton yang hadir dan pemuzik yang tampil pada malam itu sangat profesional.
“Saya juga berterima kasih kepada cikgu Shaafri kerana memperkenalkan saya dengan dunia muzik keroncong sehinggalah saya boleh bermain cak dengan baik,” katanya.
Sementara itu, guru pengiring Maktab Sabah, Muhammad Alfian Salim, turut melahirkan rasa kagum terhadap mutu penganjuran festival dan pencapaian pelajar-pelajarnya.
“SKF 2025 sangat mengagumkan dengan kehadiran artis-artis dan kumpulan keroncong dari dalam dan luar Indonesia yang masing-masing menampilkan persembahan berkualiti tinggi.
“Tidak terkecuali ORKAMS, yang menunjukkan mutu persembahan setanding dengan kumpulan dan artis profesional yang tampil pada malam tersebut. Saya berharap ORKAMS terus berkembang maju dan terus melestarikan muzik keroncong, bukan sahaja dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa,” katanya.
Menurut pegawai liaison SKF, Gita Cinta, persembahan ORKAMS memberikan warna berbeza kepada festival kali ini.
“Penampilan ORKAMS (Malaysia) kemarin di SKF keren banget. Vibes-nya kayak dengerin lagu-lagu Melayu tapi versi keroncongin. Jadi bikin suasana SKF kemarin beragam banget. Pas collab sama miss Rozita juga keren poll,” katanya dalam loghat Indonesia.
Sepanjang berada di Solo, para pelajar turut menyertai pelbagai aktiviti rentas budaya yang memperkayakan pengalaman mereka termasuk lawatan ke Istana Keraton, pusat pembuatan alat muzik keroncong serta tapak warisan agama di Candi Plaosan, Jogjakarta.


Festival muzik keroncong tahunan itu yang bermula sejak 2009, kini diiktiraf sebagai sebahagian daripada program Kharisma Event Nusantara (KEN) dan disokong oleh Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia.
Penyertaan ORKAMS dalam SKF 2025 memperkukuh peranan Malaysia sebagai antara negara serantau yang aktif dalam memelihara warisan muzik tradisional, di samping menyokong aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam melahirkan pelajar berbudaya, berpengetahuan serta memiliki jati diri kebangsaan yang kukuh.
Penganjuran SKF bertujuan menjadikan Kota Solo sebagai pusat rujukan dunia dalam pemeliharaan dan pengantarabangsaan muzik keroncong, selain menyediakan platform kepada pemuzik serantau untuk berkongsi bakat dan membina jaringan budaya.
Penyertaan ORKAMS dalam festival ini bukan sahaja membuktikan keupayaan anak muda Sabah mengangkat seni tradisional ke pentas global, tetapi turut menjadi inspirasi kepada generasi baharu untuk terus melestarikan muzik keroncong di dalam dan luar negara.