Kota Marudu: Teknologi tidak seharusnya menjadi penghalang kepada keharmonian keluarga, sebaliknya perlu dimanfaatkan secara bijaksana bagi menyokong pengukuhan institusi kekeluargaan.
Isteri Ketua Menteri, Datin Juliah Salag berkata, dalam dunia yang semakin pesat dengan transformasi digital, masyarakat terutamanya golongan wanita perlu bijak menyeimbangkan penggunaan teknologi dengan nilai kekeluargaan.
“Teknologi haruslah dilihat sebagai alat yang menyokong keharmonian keluarga, bukan yang merenggangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Santuni Kasih: Teknologi dan Nilai Keluarga sempena Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) Peringkat Daerah Kota Marudu 2025 di Dewan PPR Jaya, Kerongkom di sini pada Rabu.
Juliah yang juga Yang Dipertua MUTIARA Gagasan Rakyat Sabah (GRS) turut menekankan kepentingan memperkukuh komunikasi bersemuka, kasih sayang, tanggungjawab dan rasa hormat dalam keluarga, meskipun dalam dunia yang semakin bergantung kepada gajet dan capaian internet.
Katanya, laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) 2023 menunjukkan kadar penembusan internet negara mencecah 97.4 peratus, dan 99.3 peratus pengguna mengaksesnya melalui telefon pintar.
“Peningkatan capaian internet di kawasan luar bandar seperti Kota Marudu membuka ruang kepada akses pendidikan, kesihatan dan peluang ekonomi, tetapi ia juga mewujudkan cabaran terhadap interaksi dan emosi dalam keluarga,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyambut baik pelaksanaan kempen kesedaran WCaRe yang disifatkannya sebagai langkah konkrit untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat luar bandar, khususnya wanita, tentang kesihatan reproduktif.
Mengulas statistik terkini, Juliah berkata satu daripada 19 wanita di Malaysia berisiko menghidap kanser payudara, manakala satu daripada 40 wanita berisiko mendapat kanser serviks.
“Namun jika dikesan awal, kadar kelangsungan hidup boleh meningkat sehingga 90 peratus. Justeru, kempen seperti WCaRe ini sangat signifikan dan harus diperluas,” jelasnya.
Beliau turut memuji pendekatan holistik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang bukan sahaja menumpukan kesihatan fizikal wanita tetapi juga pembinaan nilai dan struktur keluarga.
“Modul pendidikan kesedaran reproduktif dan celik teknologi untuk wanita dan remaja ini penting untuk membentuk daya tahan mental dan fizikal yang lebih baik,” katanya.
Juliah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program tersebut termasuk LPPKN, Pejabat Daerah Kota Marudu, MUTIARA GRS, sukarelawan, petugas kesihatan dan media. – Chronivo