Kota Kinabalu: Syarikat pembekal pelbagai jenis kabel, Federal Power Sdn. Bhd. merancang untuk membuka sebuah kilang pembuatan di Sabah pada tahun hadapan.
Pengerusinya, Datuk Seri NW Hisham Abdul Wahab berkata, inisiatif itu dijangka membuka peluang pekerjaan kepada 100 bumiputera Sabah merangkumi pelbagai peringkat kemahiran.
“Bagi mereka yang tidak mempunyai kemahiran, kita akan menghantar mereka untuk menjalani latihan dalaman di kilang Federal Power di Selangor bertujuan mendapatkan pengalaman.
“Kilang kedua ini akan memberi tumpuan kepada pasaran industri di Sabah, Sarawak dan kawasan sekitar termasuk Brunei dan Indonesia jika berpotensi.
“Kos penghantaran dari Semenanjung ke Sabah agak tinggi. Oleh itu, pembukaan kilang di sini akan membantu mengurangkan kos pengangkutan seterusnya menurunkan harga pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada ditemui media selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, di sini.
Kunjungan tersebut bertujuan memaklumkan dan menerangkan kepada Tun Musa mengenai cadangan Federal Power Sdn. Bhd. untuk melebarkan sayap perniagaan ke Sabah.
Syarikat tersebut mengkhusus dalam pembuatan pelbagai jenis kabel dan konduktor yang memenuhi pelbagai keperluan, spesifikasi serta piawaian antarabangsa seperti Piawaian British (BS), Piawaian Industri Jepun (JIS), Jawatankuasa Elektroteknikal Antarabangsa (IEC), Piawaian Malaysia (MS) Dan Piawaian Brunei (DES).