HomeUtama91 penduduk Kg Togudon kini miliki tanah secara sah

91 penduduk Kg Togudon kini miliki tanah secara sah

Read Time:2 Minute, 41 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Seramai 91 penduduk Kampung Togudon, Penampang berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana akhirnya menunaikan impian mereka memiliki tanah yang telah lama diusahakan secara sah.

Kegembiraan dan rasa lega jelas terpancar pada wajah mereka apabila penantian puluhan tahun berakhir dengan penyerahan geran tanah rasmi, menerusi Program Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS).

Bagi mereka, ini bukan sekadar geran, tetapi satu bentuk pengiktirafan terhadap usaha dan kesabaran penantian mereka yang tidak pernah luntur.

Gamato

Gamato Galagub, 83, tidak pernah menyangka bahawa pada usia sebegini, akhirnya beliau akan menerima berita yang sekian lama dinantikannya permohonan pemilikan sah tanah yang telah diusahakan terletak di Kampung Togudon lebih 30 tahun, kini sah menjadi miliknya.

Seluas lebih 15 ekar, tanah tersebut menjadi tempat beliau mencurahkan tenaga dan harapan, dengan pelbagai tanaman diusahakan sebagai sumber pendapatan buat keluarga. Namun, selama ini segala usaha itu dilakukan tanpa sebarang jaminan pemilikan rasmi.

“Sudah 30 tahun lebih saya tunggu. Naik turun pejabat (Jabatan Tanah dan Ukur) tapak kasut pun sudah haus. Tapi saya tetap sabar dan terus usaha,” kata Gamato ketika ditemui Chronivo selepas Majlis Penyerahan Geran Tanah Kampung Togudon di bawah Program PANTAS yang berlangsung di bangunan premis Tamu Desa Kampung Togudon, di Penampang, hari ini.

Tanah Tanpa Hak, Usaha Tanpa Jaminan

Gamato membuka dan mengusahakan tanah tersebut secara berdikari pada usia mudanya satu langkah biasa bagi penduduk kampung ketika itu. Walau bagaimanapun, urusan pemilikan tanah secara rasmi seringkali menjadi penghalang.

“Pokok tanaman sudah besar … pokok durian, pokok getah, ada yang sudah membuahkan hasil tetapi pemilikan tanah belum sah,” katanya.

Namun apa yang lebih utama baginya ialah usaha tidak sia-sia. Permohonan tanah selepas lebih tiga dekad akhirnya membuahkan hasil.

“Saya sangat gembira, terima kasih kepada kerajaan yang akhirnya mendengar dan membantu kami orang kampung ini,” katanya.

Generasi Muda Turut Merasai Ketenangan

Kegembiraan itu turut dikongsi oleh dua beradik, Stephanie Seguty, 27, dan Helen Seguty, 23, dari kampung yang sama. Mereka mewarisi tanah daripada arwah bapa mereka dan selama ini berdepan cabaran untuk mengurus permohonan tanah tersebut.

“Bapa kami telah membuat permohonan hak milik tanah berkenaan. Dan kami tidak ingat sejak tahun bila sebab beliau telah meninggal. Dan kami adalah pewaris dan kami terus berusaha meneruskan permohonan itu. Sebelum ini, kami risau tanah dirampas oleh pihak tertentu, walaupun permohonan telah dibuat. Ini menjadi igauan kepada kami. Namun dengan penyerahan geran tanah ini memberi ketenangan kepada kami bahawa kami adalah pemilik yang sah tanah ini.
Ini bukan saja tentang tanah, tapi tentang warisan keluarga. Kami sangat bersyukur kerana akhirnya hak ini diiktiraf,” kata Stephanie.

Mereka berhasrat untuk membangunkan tanah itu dengan lebih teratur, termasuk memperluaskan usaha tani kecil-kecilan sebagai sumber pendapatan keluarga.

Majlis penyerahan geran tanah tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Alan Chua, bagi mewakili Pengarah, Datuk Sr Bernard Liew.

Program PANTAS di Kampung Togudon ini telah dilancarkan secara rasmi pada 29 Ogos 2024, melibatkan kawasan seluas 982 hektar (2,426.57 ekar) dengan anggaran sebanyak 400 lot tanah.

Pengukuran awal telah dimulakan pada 11 Ogos 2024 dan terbahagi kepada empat blok utama.

Dan bagi fasa pertama, sebanyak 91 geran, dengan keluasan 157.366 hektar (388.86 ekar), dan telah diserahkan kepada pemilik-pemilik tanah.

RELATED ARTICLES
EnglishUtama

‘Reckless, Dangerous and Disgusting’: Lawyers Hit Back at Shafie Over Zara...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular