KUALA LUMPUR — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak pemaju kerana belum sepenuhnya menghayati konsep MADANI dalam pembangunan perumahan rakyat berskala besar, termasuk projek Residensi Aman MADANI.
Beliau menegaskan projek dengan ribuan unit kediaman mesti mengambil kira penyediaan prasarana asas seperti sekolah, tadika dan kemudahan kesihatan, yang perlu dijadikan syarat utama sebelum diluluskan.
“Konsep MADANI bukan sekadar slogan, tetapi amanah. Saya tidak mahu komisen, tidak mahu proses yang meleret. Yang saya tuntut ialah pelaksanaan projek secara bersih, telus dan cekap, dengan kepentingan rakyat sebagai keutamaan,” katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah projek itu di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, hari ini.
Anwar berkata, perancangan bandar berteraskan MADANI mesti merangkumi ikhtiar mengurangkan kos sara hidup rakyat, termasuk memastikan sekolah atau tadika disediakan di peringkat pelan pembangunan. Katanya, kerajaan sanggup menanggung kos pembinaan sekolah jika ia dimasukkan dalam perancangan awal, yang lebih murah berbanding kaedah konvensional.
Sementara itu, Pengarah Urusan Danau Lumayan Sdn Bhd, Shahril Reza Shaheen, berkata pihaknya bersedia mempertimbangkan cadangan Perdana Menteri untuk mewujudkan sekolah vertikal di tapak projek Residensi Wilayah Aman Lumayan.
“Kami akan mengadakan perbincangan lanjut dengan DBKL dan Jabatan Wilayah Persekutuan bagi meneliti semula keperluan ini. Jika ada ruang, kita akan teliti kemungkinan membina sekolah di tapak projek atau kawasan sekitar,” katanya.
Projek Residensi Wilayah Aman Lumayan membabitkan pembinaan 3,438 unit kediaman mampu milik berharga sekitar RM300,000 seunit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.01 bilion. Ia dibangunkan dalam tiga fasa dan dijangka siap dalam tempoh lima tahun, dengan Fasa 2B setinggi 55 tingkat sebagai fasa permulaan.