HomeUtama91 penduduk Kg Togudon bersyukur terima geran tanah di bawah Program PANTAS

91 penduduk Kg Togudon bersyukur terima geran tanah di bawah Program PANTAS

Read Time:1 Minute, 41 Second

Oleh Florieta Diet

PENAMPANG: Seramai 91 penduduk Kampung Togudon di sini meluahkan rasa syukur dan gembira apabila impian mereka untuk memiliki geran tanah akhirnya menjadi kenyataan melalui Program Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS).

Majlis penyerahan geran tanah tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, dalam Majlis Penyerahan Geran Tanah Kampung Togudon di bawah Program PANTAS Jabatan Tanah dan Ukur, yang berlangsung di bangunan premis Tamu Desa Kampung Togudon, di sini, hari ini.

Menurut Ewon, penyerahan geran tersebut yang meliputi keluasan 388.86 ekar merupakan fasa pertama penyerahan daripada pengukuran keseluruhan 2,426.57 ekar yang disukat di bawah Program PANTAS.

“Saya maklum dengan isu pemilikan tanah oleh penduduk Kampung Togudon yang telah menunggu bertahun-tahun lamanya. Isu pemilikan tanah ini merupakan antara yang terawal saya selesaikan.

“Selepas mendapatkan persetujuan daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji, akhirnya kita telah memulakan penyukatan tanah di bawah Program PANTAS ini pada Ogos tahun lalu, dan hari ini fasa pertama penyerahan geran tanah telah dapat dilaksanakan.

“Penyampaian geran tanah ini telah menamatkan penantian berpuluh tahun penduduk di sini. Saya yakin ini akan membuka era baharu kepada aktiviti ekonomi di kampung ini, khususnya dalam sektor pertanian dan pelancongan desa.

“Saya beriltizam untuk memperluaskan penyukatan tanah di beberapa kampung lain seperti Kampung Moyog, Kampung Rugading dan Kampung Kibunut di bawah Program PANTAS,” katanya.

Ewon menambah, beliau telah membangkitkan di Kabinet Persekutuan mengenai keperluan meneruskan Program PANTAS dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) 2026–2030.

“Saya gembira kerana ini telah dimasukkan dalam RMK13 sepertimana dibentangkan oleh Perdana Menteri di bawah agenda pembangunan khas masyarakat Anak Negeri Sabah dan Bumiputera Sarawak.

“Saya akan terus mendapatkan sokongan Ketua Menteri supaya Program PANTAS diperluaskan kerana sebahagian besar peruntukan untuk ini disediakan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya lagi.

Dalam majlis tersebut, Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang turut merasmikan bangunan premis Tamu Desa Kg Togudon serta melancarkan Koperasi Desa Togudon Berhad.

Program PANTAS merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Sabah untuk mempercepatkan proses penyukatan dan pemberian hak milik tanah kepada anak negeri, khususnya di kawasan luar bandar.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah cadang beri pendidikan percuma untuk pelajar lanjut ke IPT milik...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular