Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Penyebaran spekulasi liar oleh netizen mengenai kes Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir bukan sahaja mengguris hati ibunya, malah berisiko menjadi kesalahan jenayah, tegas pasukan peguam.
Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, yang mewakili ibu Zara, Noraidah Lamat, berkata individu yang mempunyai maklumat sepatutnya menyalurkannya kepada polis bagi membantu siasatan berhubung kematian remaja perempuan berusia 13 tahun itu.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkenaan kes Zara diminta untuk menyalurkan maklumat tersebut kepada polis untuk tujuan siasatan,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Kenyataan itu dibuat susulan penularan beberapa video dan gambar berkaitan dengan kes Zara.
Antaranya, video tular seorang wanita yang mendakwa Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh, serta penyebaran gambar yang memaparkan kronologi kononnya Zara hanya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH 1) pada jam 8 pagi, 16 Julai.
“Video seorang wanita menceritakan tentang Zara dimasukkan ke dalam mesin basuh adalah satu spekulasi. Anak guam kami, iaitu ibu Zara, tidak pernah memberi maklumat sedemikian kepada sesiapa. Kami memohon wanita berkenaan menyalurkan maklumat itu kepada polis bagi tujuan siasatan.
“Penyebaran gambar kronologi yang menggambarkan Zara hanya dibawa ke QEH 1 pada jam 8 pagi pada 16 Julai lalu juga adalah satu spekulasi. Maklumat yang membentuk kronologi itu bukan datang dari anak guam kami.”
Pasukan guaman turut menegaskan penyebaran gambar para pelajar sekolah di platform-platform media massa dan membuat kenyataan yang negatif terhadap mereka adalah satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001, dan Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Penyebaran senarai nama pelajar-pelajar sekolah yang mengandungi maklumat peribadi mereka juga adalah satu kesalahan jenayah di bawah Seksyen 130 Akta Perlindungan Peribadi 2010 dan Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Oleh itu, kami menggesa agar penularan perkara-perkara di atas di semua platform media sosial dihentikan serta-merta.
“Kepada mereka yang telah terlibat dalam penyebaran tersebut, kami memohon agar video dan gambar berkaitan dipadamkan,” tambah mereka.
“Oleh itu, kami berharap penularan perkara-perkara di atas di semua platform media sosial dihentikan segera. Kepada mereka yang telah melakukan penyebaran di atas, kami memohon agar memadam video dan gambar tersebut.
“Spekulasi hanya menambah tekanan dan kesedihan kepada anak guam kami,” tambah mereka.