HomeUtamaPeguam rayu Peguam Negara pulangkan laporan dan siasat semula kes Zara

Peguam rayu Peguam Negara pulangkan laporan dan siasat semula kes Zara

Read Time:2 Minute, 6 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Peguam bagi kes Zara Qairina Mahathir merayu kepada Peguam Negara supaya memulangkan semula kertas siasatan kepada pihak polis bagi membolehkan siasatan kes itu dibuka semula.

Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, dalam suatu kenyataan bersama menegaskan terdapat kelemahan dan kekurangan serius dalam laporan siasatan yang diterima oleh Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Kami, peguam kepada Noraidah Lamat, iaitu ibu kepada Allahyarhamah Zara, merujuk kepada kenyataan media Jabatan Peguam Negara yang dikeluarkan semalam, menyatakan bahawa mereka telah menerima laporan penuh siasatan awal daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian Zara, masing-masing pada 3 Ogos 2025 di Cawangan Sabah dan 4 Ogos di Ibu Pejabat Putrajaya.

“Dengan penuh hormat, kami menegaskan bahawa terdapat kelemahan dan kepincangan serius dalam laporan siasatan yang telah diterima oleh Jabatan Peguam Negara itu.

“Sehubungan dengan itu, pagi ini, kami telah menghantar satu surat kepada Peguam Negara memohon dan merayu agar kertas siasatan dikembalikan kepada PDRM dan siasatan dibuka semula demi keadilan,” kata peguam.

Zara, pelajar Tingkatan 1 di sebuah sekolah agama di Papar, Sabah, ditemui tidak sedarkan diri selepas didakwa jatuh dari bangunan asrama. Dia disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) pada jam 11 pagi, 17 Julai.

Kejadian itu tular di media sosial susulan dakwaan kejadian buli yang mengaitkan anak menteri, VIP dan individu berpengaruh dengan kematian pelajar terbabit, sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen.

Menurut peguam siasatan yang dijalankan adalah kecil skopnya dan terhad fokusnya kerana bedah siasat tidak ada dilakukan terhadap jenazah Zara sebelum pengkebumiannya; serta pakaian dan barang peribadi yang dipakai oleh Zara semasa dia ditemui di bawah bangunan asrama pada 16 Julai 2025 tidak ada diambil oleh polis untuk tujuan siasatan.

“Keterangan anak guam kami berkenaan kesan lebam di bahagian belakang Zara hanya diambil pada petang 3 Ogos 2025 dan petang 4 Ogos 2025 di Balai Polis Sipitang.

“Kami percaya polis tidak mempunyai material yang cukup untuk menyiasat secara efektif perkara ini kerana mereka tidak mempunyai laporan bedah siasat, dan pakaian dan barang peribadi Zara.

“Apatah lagi wujudnya kekangan masa untuk menyiasat kerana laporan kes siasatan dihantar pada 4 Ogos 2025 di Putrajaya,” jelas kenyataan itu.

Peguam juga merayu agar proses siasatan dilakukan oleh pegawai penyiasat berpengalaman dari Bukit Aman; kubur Zara digali semula agar satu bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca sebenar kematian, dan satu inkues diadakan untuk menentukan sama ada wujud unsur jenayah dalam kematian Zara.

“Kami berharap Peguam Negara dapat melaksanakan kuasa di bawah seksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah untuk mengarahkan majistret mengadakan inkues tersebut,” kata peguam.

RELATED ARTICLES
Utama

Tahap Pengetahuan Kesihatan Rakyat Malaysia Masih Rendah — Menteri Kesihatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular