Oleh Normimie Diun
KOTA MARUDU: Sabah melakar langkah baharu dalam industri agro-makanan dengan pelaksanaan Projek Teknologi Pertanian Malaysia Timur (EMAT), yang memperkenalkan penanaman jagung bijian secara moden di daerah ini.
Projek perintis seluas 50 hektar di Kampung Masalog, Kota Marudu itu merupakan kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri Sabah, syarikat EMAT Sdn Bhd dan Koperasi Tanjong Keramat Malaysia Berhad (KTKMB), serta disokong oleh pelabur asing dari Afrika Selatan dan China.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak berkata, pelaksanaan teknologi pertanian moden melalui projek ini bukan sahaja berpotensi meningkatkan hasil tuaian jagung hingga 16 tan sehektar, berbanding purata semasa negara sekitar enam hingga lapan tan sehektar, malah turut menyumbang kepada pengurangan kebergantungan negara terhadap import jagung bijian.
“Inisiatif ini adalah sinergi penting antara kerajaan, sektor swasta tempatan dan pelabur asing untuk melonjakkan keupayaan pertanian negara.
“Teknologi utama yang digunakan termasuk sistem pengurusan tanah bersepadu dan sistem pengairan pintar, yang membolehkan pengawalan air secara optimum mengikut keperluan tanaman, sekali gus meningkatkan kualiti dan kuantiti hasil,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja dan Sesi Libat Urus Pembangunan Industri Jagung Bijian Negara di Kampung Masalog, di sini pada Isnin.
Menurut beliau, setakat ini Malaysia masih bergantung sepenuhnya kepada import jagung bijian, terutamanya untuk kegunaan makanan ternakan seperti ayam, lembu tenusu dan lembu daging.
Katanya, usaha memperkenalkan pengeluaran tempatan secara berfokus dan berhampiran dengan kawasan penternakan juga akan membantu menjamin kelangsungan bekalan, mengurangkan kos logistik serta meningkatkan kecekapan keseluruhan rantaian bekalan makanan.
“Apabila pengeluaran jagung bijian dapat dilakukan secara mapan, ia mampu menurunkan kos pengeluaran makanan ternakan, seterusnya membantu menstabilkan harga ayam, telur dan daging di pasaran,” ujarnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa penggunaan teknologi ini akan dimulakan oleh pihak syarikat terlebih dahulu untuk membangunkan satu Prosedur Operasi Standard (SOP) lengkap merangkumi semua fasa penanaman, teknologi dan input pertanian. SOP tersebut kemudian boleh digunapakai di ladang-ladang lain di seluruh negara setelah terbukti berkesan.
Projek EMAT juga memberi tumpuan kepada pemindahan teknologi dan ilmu pertanian moden kepada komuniti tempatan, khususnya golongan belia di Kota Marudu, di samping membuka peluang pekerjaan serta menjana ekonomi setempat melalui penghasilan hasil pertanian berkualiti tinggi.
Kerjasama antara KTKMB dan pemilik tanah akan dilaksanakan untuk tempoh sepuluh tahun bagi menjamin kesinambungan projek, manakala EMAT Sdn Bhd memainkan peranan sebagai penyedia teknologi dan jentera pertanian berimpak tinggi dari luar negara.
Sementara itu pada sidang media sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tandek, Datuk Hendrus Anding berkata projek penanaman jagung bijian secara moden di daerah ini bukan sahaja berpotensi mengurangkan kebergantungan import makanan ternakan, malah membuka peluang ekonomi baharu kepada golongan belia tempatan.
Katanya, walaupun projek tersebut telah dimulakan pada awal tahun ini, pelaksanaannya mengambil masa berikutan proses pemilikan tanah yang rumit.
“Projek ini sebenarnya bermula awal tahun, tetapi sedikit tertangguh kerana proses perjanjian dan penyesuaian pemilikan tanah. Ada pemilik yang bertukar, jadi proses mencari pemilik sebenar mengambil masa yang agak panjang.
“Namun, setakat ini kita telah mengenal pasti kira-kira 250 hektar tanah yang sedia untuk dibangunkan, dan daripada jumlah itu, 50 hektar sudah bersedia untuk ditanam,” kata Hendrus yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah.
Menurut beliau, sepanjang beberapa bulan lalu, pihak syarikat telah mengambil langkah pantas termasuk kerja-kerja membersih, menanda kawasan dan membawa masuk jentera serta kelengkapan ke tapak projek satu bukti komitmen tinggi untuk merealisasikan pelaksanaan projek ini.
Hendrus berkata, pelaksanaan projek ini dijangka memberi kesan positif kepada pendapatan penduduk, khususnya melalui pelaksanaan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) dalam konteks pertanian.
“Jagung adalah bahan asas dalam penghasilan makanan ternakan. Apabila pengeluaran jagung tempatan meningkat, kos makanan haiwan seperti ayam, itik dan lembu akan menurun. Ini membuka lebih banyak peluang kepada rakyat, terutama golongan belia, untuk menceburi bidang penternakan,” jelasnya.
Beliau berkata, selama ini ramai yang tidak berani menceburi bidang ternakan kerana harga makanan haiwan yang terlalu tinggi, disebabkan kebergantungan penuh kepada jagung import.
Dengan adanya ladang jagung berskala besar di Kota Marudu, katanya, harga pasaran bahan makanan ternakan dijangka lebih stabil dan mampu meningkatkan daya saing penternak kecil dan usahawan tani.
Menurut Hendrus, penglibatan belia tempatan dalam projek ini masih di peringkat awal kerana projek belum memasuki fasa operasi sepenuhnya.
Namun, beliau menjelaskan bahawa pihak syarikat telah merancang untuk melatih belia tempatan, khususnya dari kawasan sekitar, sebagai tenaga separuh mahir bagi mengendalikan ladang dan teknologi pertanian moden yang digunakan.
“Ketika ini, kebanyakan juruteknik masih dibawa dari luar. Tetapi dengan adanya pendedahan dan latihan, kita mahu belia-beliawanis di kawasan ini menjadi tenaga utama yang menerajui operasi ladang ini pada masa depan,” katanya.
Mengulas perkembangan di kawasan lain, Hendrus memaklumkan terdapat projek penanaman jagung bijian berskala kecil di Papar dan Tamparuli, namun masih dalam peringkat percubaan.
“Kota Marudu merupakan lokasi projek perintis terbesar setakat ini, dengan keluasan melebihi 100 hektar yang bakal dikembangkan lagi,” ujarnya.