Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dikenakan denda berjumlah RM21,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah mencuri bekalan elektrik dengan memintas terminal meter, menyebabkan kerugian kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity).
Voo Hen Sang @ Tonny, 58, mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Amir Shah Amir Hassan, atas kedua-dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Bagi pertuduhan pertama, Voo didenda RM1,000 atau dipenjara 14 hari jika gagal membayar denda, kerana didapati secara curang menggunakan elektrik melalui pepasangan sambungan kabel pintasan berwarna hitam yang disambung di terminal meter bernombor 99178340 di fasa merah.
Bagi pertuduhan kedua, dia diperintahkan membayar denda RM20,000 atau berdepan hukuman penjara lima bulan, kerana melakukan kesalahan yang sama melalui pepasangan sambungan kabel pintasan berwarna biru yang disambung di terminal meter bernombor 98992844 di fasa merah dan biru.
Menurut kedua-dua kertas pertuduhan, tindakan Voo telah menyebabkan pihak SESB terkurang caj dan mengalami kerugian.
Kesalahan itu dilakukan pada 24 Februari lalu, pada jam 4.40 petang dan 8 malam di Kampung Kauluan, Tamparuli.
Voo didakwa mengikut subseksyen 61(3)(c) Enakmen Bekalan Elektrik 2024.
Bagi pertuduhan pertama kesalahan itu boleh dihukum di bawah subseksyen 61(3)(i) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 yang memperuntukkan denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Kesalahan bagi pertuduhan kedua, boleh dihukum di bawah Subseksyen 61(3)(ii) Enakmen yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM1 juta atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam rayuan, peguam tertuduh, Jeremy Ho, memohon hukuman denda yang ringan atas alasan ia merupakan kesalahan pertama Voo.
Bagaimanapun, Penolong Pengarah (Pendakwaan) Hal Ehwal Undang-Undang Energy Commission of Sabah (ECoS) Nureen Natasha Mohd Raffie, memohon hukuman berat sebagai pengajaran kerana kesalahan itu serius dan telah mengakibatkan kerugian kepada Sabah Electricity, selain bertujuan mencegah perbuatan sama daripada berulang.