HomeUtamaHPPNK 2025 catat kehadiran hampir 500,000 pengunjung, nilai jualan cecah RM15 juta

HPPNK 2025 catat kehadiran hampir 500,000 pengunjung, nilai jualan cecah RM15 juta

Read Time:3 Minute, 6 Second

Kota Kinabalu: Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya menarik hampir 500,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya, dengan nilai jualan keseluruhan mencecah RM15 juta.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sehingga jam 10 malam semalam lebih 300,000 pengunjung telah hadir dengan nilai jualan sebanyak RM 7.6 juta.

“Penganjuran HPPNK 2025 telah mencatatkan kehadiran setakat jam 10 semalam (pada Sabtu) lebih daripada 300,000 dengan nilai jualan setakat semalam RM7.6 juta. Saya yakin hari ini hari terakhir pengunjung ramai mereka akan habiskan semua jualan yang ada di HPPNK ini.

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yakin akan dapat mencapai sasaran bilangan pengunjung seramai 500,000 orang dengan nilai jualan akan mencapai RM15 juta apabila program ini berakhir pada malam ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap Sempena Majlis Perasmian Penutupan HPPNK 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Ahad.

Mohamad berkata, HPPNK bukan sekadar acara sambutan tahunan, tetapi platform untuk mengiktiraf dan meraikan sumbangan peladang, perternak dan nelayan yang menjadi wira disebalik kejayaan sektor agromakanan negara.

“HPPNK merupakan sebuah acara yang bukan saja meraikan, bahkan mengangkat martabat wira agromakanan negara dalam pembentangan rancangan, rancangan Malaysia ke-13 (RMK 13).

“Baru-baru ini Kita menyaksikan sektor pertanian dan keterjaminan makanan terus menjadi perhatian yang amat berhormat Perdana Menteri melalui eksplorasi Kerajaan Madani.

“Pengeluaran agromakanan berskala besar merangkumi keseluruhan subsektor terus menjadi tumpuan termasuk penambahbaikan infrastruktur dan penggunaan teknologi.

“HPPNK telah menjadi acara yang amat dinantikan oleh rakyat Malaysia bukan saja kerana nilai simboliknya tetapi juga sebagai wadah yang merapatkan hubungan antara kerajaan dengan pemain utama sektor agromakanan,”katanya.

Beliau turut menekankan peranan sektor itu dalam menjana pendapatan negara menerusi eksport produk agromakanan.

“Melalui platform HPPNK, KPKM mengetengahkan komuniti utama yang menyumbang kepada nilai eksport antaranya durian sudah melebihi bilion nenas juga telah mencecah bilion dan kelapa segar sedang bermula.

“Di samping itu, satu penemuan baru yang amat menggembirakan kita buah avocado dan tanaman bawang hasil daripada negeri Sabah juga dilihat amat berpotensi untuk dikembang pada masa akan datang.

“Kita akui import makanan negara masih tinggi, maka kita ambil cabaran itu kalau tak dapat dikurangkan import itu kita akan berusaha menambahkan eksport barang-barang makanan yang kita sedang usahakan sekarang ini supaya akan berlaku penyeimbangan antara import dan eksport makanan di Malaysia pada masa yang akan datang,”katanya.

Beliau turut mengulas empat fokus utama HPPNK 2025 digariskan sebagai pemacu kepada perubahan struktur dan budaya sektor agromakanan.

“Pertama segmen agro millenium antara teras utama sambutan HPPNK tahun ini dirangka untuk memperkasakan peranan generasi muda agromakanan negara.

“Kedua segmen cukup dan terjamin memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekosistem agromakanan negara melalui pelbagai pengisian yang merangkumi 10 komponen utama. Program ini menampilkan kemajuan dalam teknologi pertanian dan berperanan penting dalam meningkatkan produktiviti.

“Ketiga segmen kesejahteraan madani mengetengahkan peranan peladang, penternak dan nelayan sebagai pemangkin kepada pengeluaran domestik. Fokus utama segmen ini adalah untuk memperkukuh security makanan negara dengan mengurangkan kebergantungan kepada import.

“Keempat segmen jualan dan keusahawanan merupakan komponen penting dalam HPPNK yang bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi melalui memperkukuh usahawan agromakanan. Ia menjadi platform strategik untuk memperkenalkan produk tempatan ke pasaran lebih luas termasuk ke peringkat antarabangsa,”jelasnya.

Sambutan HPPNK tahun ini menjadi lebih bermakna apabila turut meraikan Jubli Emas, menandakan 50 tahun penganjurannya di peringkat kebangsaan.Edisi pertama HPPNK diadakan adalah pada 6 Ogos 1975 di pekarangan Bangunan Parlimen dan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak.

Sabah pula menjadi tuan rumah kali terakhir pada tahun 1995, menjadikan penganjuran kali ini sebagai kali sebagai kemunculan semula selepas lebih tiga dekad.

Sepanjang acara ini, sebanyak 14 dokumen persefahaman dan perjanjian strategik termasuk Memorandum Persefahaman dan Memorandum Perjanjian telah berjaya dimeterai dengan nilai keseluruhan mencecah RM526 juta.

RELATED ARTICLES
Utama

Kenyataan Shafie Tentang Kes Zara Disifatkan Tidak Bertanggungjawab Dan Prejudis

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular