KOTA KINABALU, – Kerja penyenggaraan berjadual di Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) yang sepatutnya dijalankan dalam tempoh terdekat telah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Sabah (ECoS), Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, keputusan penangguhan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan semasa Grid Sabah serta keperluan masa tambahan untuk penyiapan ujian bagi sebahahian uni janakuasa IPP di Kimanis yang menggunakan bahan api diesel alternatif.
“Selain itu, kerja-kerja pembaikan yang sedang dijalankan di beberapa loji janakuasa milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan IPP turut diambil kira dalam keputusan ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Keputusan ini dicapai setelah meneliti risiko gangguan bekalan eletrik grid Sabah berdasarkan keadaan terkini, berbanding dengan impak ke atas penangguhan kerja penyelengaraan di SOGT katanya.
Kerja penyenggaraan bersepadu di SOGT pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 7 Ogos, kemudian ditunda kepada 5 hingga 11 Ogos, sebelum ditangguhkan sekali lagi ke tarikh baharu yang akan dimaklumkan kelak.