Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Terdapat kesan-kesan lebam pada sebahagian besar belakang tubuh Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir semasa jenazahnya dimandikan di Hospital Queen Elizabeth 1 pada 17 Julai lalu.
Peguam keluarga Zara, Hamid Ismail dan Shahlan Jufri berkata anak guam mereka (Ibu Zara) melihat sendiri kesan-kesan lebam tersebut kerana beliau yang memandikan jenazah itu bersama beberapa orang wanita lain.
“Kami mengambil maklum tentang kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam bahawa polis telah selesai menjalankan siasatan kes ini dan kertas siasatan akan dihantar ke Jabatan Peguam Negara pada minggu hadapan untuk tindakan lanjut.
“Namun, perkembangan terbaharu ini menjustifikasikan pembukaan semula siasatan kes,” kata peguam dalam suatu kenyataan rasmi yang dikeluarkan hari ini.
Menurut peguam, ibu Zara, Noraidah Lamat telah membuat satu laporan polis
di Balai Polis Sipitang berhubung kewujudan kesan-kesan lebam tersebut.
“Anak guam kami tidak memasukkan fakta penting ini di dalam laporan-laporan polisnya sebelum ini kerana beliau terlupa sepenuhnya mengenainya. Beliau hanya teringat semula tentang kesan-kesan lebam ini apabila kami menyoal beliau kelmarin tengahari berkenaan keadaan tubuh anaknya semasa dimandikan olehnya.
“Beliau terlupa berkenaan fakta ini kerana sejak 16 Julai lalu, beliau terlalu terlalu sedih dengan perkara yang menimpa anaknya.
“Anak guam kami percaya kesan-kesan lebam yang dilihatnya itu adalah kesan-kesan kecederaan yang diakibatkan oleh pukulan-pukulan menggunakan objek tumpul ke bahagian belakang Zara sebelum dia ditemui di bahagian bawah bangunan asrama sekolahnya pada subuh 16 Julai lalu,” katanya.
Peguam berkata, kubur Zara perlu digali semula dengan kadar segera dan satu bedah siasat dibuat terhadap tubuhnya untuk menentukan punca sebenar kematian dan sama ada wujud elemen-elemen jenayah yang menyebabkan kematian itu.
“Seperti yang kami nyatakan dalam kenyataan media kami pada 1 Ogos anak guam kami telah membuat satu laporan polis pada 30 Julai berkenaan rakaman perbualan telefonnya dengan Zara di mana Zara memaklumkan bahawa terdapat pelajar-pelajar senior yang sering mengganggu dan/atau membulinya sehingga ada yang mengugutnya dengan berkata “kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni.”
“Maklumat ini mungkin mempunyai kaitan dengan maklumat terbaharu yang disalurkan oleh anak guam kami kepada polis pada pagi ini,” jelasnya.
Zara yang ditemukan tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh dari bangunan asrama disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), di sini, 17 Julai lalu.
Kejadian itu tular di media sosial susulan dakwaan kejadian buli yang mengaitkan anak menteri, VIP dan individu berpengaruh dengan kematian pelajar terbabit, sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen.
Keluarga Zara pada 1 Ogos dilaporkan
memohon agar satu inkues diadakan bagi menentukan sama ada terdapat unsur jenayah yang terlibat dalam kematian Zara.
LINK BERITA TERDAHULU:
https://chronivo.my/2025/08/01/keluarga-zara-mohon-inkues/