HomeUtamaJPJ tidak beri muka, kenderaan mewah juga tidak terlepas – Aedy Fadly

JPJ tidak beri muka, kenderaan mewah juga tidak terlepas – Aedy Fadly

Read Time:1 Minute, 14 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menegaskan bahawa kenderaan mewah tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati melanggar peraturan jalan raya, termasuk berkaitan cukai jalan dan insurans.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemilik kenderaan termasuk kenderaan mewah yang dikesan melanggar peraturan.

“Saya ingin mengingatkan semua pemilik kenderaan mewah supaya tidak mengambil mudah soal insurans dan cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM), kerana pihak JPJ tidak akan memberi peluang atau memberi muka hanya kerana ia sebuah kenderaan mewah.

“Kita melihat kepada semua kenderaan yang melakukan kesalahan. Malah kenderaan mewah juga tidak terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya ketika ditemui media pada Sabtu sempena Majlis Penyerahan Lesen Memandu MyLesen (B2) Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025 di ITCC.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung pelaksanaan Ops Luxury 2.0 selama tiga hari di sekitar Lembah Klang yang menyaksikan 53 kenderaan mewah disita kerana tidak memiliki insurans dan LKM yang sah.

Aedy menjelaskan bahawa Ops Luxury merupakan operasi berkala JPJ yang menyasarkan pemilik kenderaan mewah yang cuai atau sengaja mengabaikan tanggungjawab.

“Mana-mana kenderaan mewah yang melakukan kesalahan, kita akan tahan dan kenakan tindakan berdasarkan Akta-Akta atau Seksyen yang berkaitan.

“Kita terpaksa tahan dahulu untuk mengambil tindakan ke atas pemandu atau pemilik kenderaan. Kenderaan tanpa insurans dan LKM tidak boleh berada di atas jalan raya, sebab itu kita sita,” katanya.

Tambahnya, JPJ akan melepaskan semula kenderaan yang disita selepas semua kes diselesaikan mengikut prosedur.

RELATED ARTICLES
Utama

Kenyataan Shafie Tentang Kes Zara Disifatkan Tidak Bertanggungjawab Dan Prejudis

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular