Penampang : Sukan bukan sekadar aktiviti fizikal, malah merupakan elemen penting dalam membentuk murid yang seimbang dan berdaya saing.
Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta (PIBKS) Sabah Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, penglibatan dalam sukan juga berupaya membina peribadi murid yang sihat fizikal dan mental, selain memupuk semangat kesukanan yang tinggi.
“Selain daripada kecemerlangan akademik, penglibatan dalam aktiviti sukan membentuk peribadi yang sihat, cergas, dan berdaya saing.
“Melalui sukan, anak-anak kita belajar tentang disiplin diri, semangat berpasukan, ketabahan, dan semangat kesukanan yang tinggi.

“Mereka belajar untuk menerima kemenangan dengan rendah diri dan kekalahan dengan semangat positif untuk berusaha lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kejohanan Olahraga Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Padang Kota Kinabalu Kali Ke-34 2025 di Stadium Penampang di sini pada Sabtu.
Arif berkata, kejohanan sukan itu bukan sahaja medan untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam pelbagai acara, tetapi juga platform untuk mengukuhkan silaturahim antara murid-murid, guru-guru, serta ibu bapa.
Katanya, sokongan padu daripada ibu bapa dan komuniti amatlah penting untuk memastikan anak-anak terus berminat dan aktif dalam bidang sukan.
“Kehadiran anda semua pada hari ini adalah bukti komitmen yang tinggi terhadap masa depan anak-anak kita.
“Berikanlah persembahan yang terbaik, bersainglah dengan penuh semangat kesukanan, dan yang paling penting, nikmatilah setiap detik kejohanan ini.
“Tunjukkanlah semangat setiakawan dan saling menyokong antara satu sama lain. Ingatlah, semangat kesukanan dan penyertaan adalah lebih utama daripada kemenangan semata-mata,” katanya. – Chronivo