HomeUtamaProgram Smart SBB tingkat pendapatan, taraf hidup petani Kampung Jawi-Jawi

Program Smart SBB tingkat pendapatan, taraf hidup petani Kampung Jawi-Jawi

Read Time:2 Minute, 24 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

Kota Kinabalu : Pelaksanaan Program SMART Sawah Berskala Besar (SBB) Ala Sekinchan dibawah seliaan syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) di Kota Belud dilihat berjaya meningkatkan hasil tanaman padi selain telah mengubah taraf hidup pesertanya secara menyeluruh.

Ini termasuklah dari segi pendapatan dan pendidikan anak-anak peserta yang menyertai program itu sejak diperkenalkan pada 2022 di kawasan sawah seluas 45 hektar di Kampung Jawi-Jawi.

Pengerusi Kumpulan Pengguna Air (KPA) Kampung Jawi-Jawi, Adlin Mohammad,51, berkata, pihaknya melahirkan rasa syukur kerana diberi peluang menyertai program berkenaan yang telah membawa perubahan besar dalam kehidupan seharian sebagai petani.

Katanya, beliau merupakan antara 19 peserta awal menyertai projek Smart SBB yang dilaksanakan di kawasan seluas 49 hektar di bawah seliaan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud dan BERNAS.

Menurutnya, sebelum menyertai dalam projek berkenaan, mereka hanya mengamalkan kaedah penanaman tradisional dan hasil padi yang diperoleh tidak menentu serta terhad.

“Sebelum ini kami tidak ada pengalaman dalam pengurusan ladang secara sistematik.

“Tapi sejak menyertai Smart SBB, semuanya lebih teratur dari segi penjadualan, input pertanian, dan kaedah penanaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Chronivo di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Sabtu.

Adlin berkata demikian bagi berkongsi pengalaman dan kejayaan dicapai sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025.

Katanya, terdapat perbezaan ketara khususnya dari segi hasil tuaian padi selepas menyertai program berkenaan.

“Jika sebelum ini, hasil padi boleh dianggarkan hanya sekitar 2.9 tan metrik per hektar, kini meningkat kepada 4.11 tan metrik per hektar, berikutan penggunaan input pertanian yang lebih sesuai serta bimbingan teknikal yang berkesan.

“Dari segi pendapatan pula, para peserta kini berjaya memperoleh purata pendapatan mencecah sekitar RM1,500 sebulan, berbanding dahulu yang jauh lebih rendah sehingga memerlukan kerja tambahan sebagai nelayan.

“Sekarang kami boleh fokus sepenuhnya kepada pertanian. Malah, di tepi sawah pun kami tanam sayur untuk tambah pendapatan. Jadi, tidak perlu cari kerja lain seperti dulu,” katanya.

Dalam pada itu, Adlin berkata, hasil pendapatan dari program berkenaan berupaya membantu kepada pendidikan anaknya.

Beliau mengakui rasa syukur apabila pendapatan daripada hasil pertanian kini dapat membantu menampung kos pendidikan mereka.

“Anak bongsu saya baru saja menghadiri majlis graduasi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Anak kedua pula sudah menamatkan pengajian ijazah.

“Syukur, walaupun saya hanya petani, usaha kami membantu mereka sampai ke tahap ini,” katanya.

Beliau juga percaya, walaupun hidup sebagai petani sering dikaitkan dengan kelompok B40, itu bukanlah penghalang untuk membina masa depan yang lebih baik, selagi ada usaha dan sokongan yang berterusan.

“Saya harap anak-anak saya akan terus melanjutkan pelajaran, dan jika ada rezeki, mungkin mereka boleh kembali menyumbang dalam bidang pertanian, mewarisi dan memperbaiki apa yang kami mulakan di sini,” katanya.

Beliau percaya bahawa pertanian moden melalui projek seperti Smart SBB bukan sahaja menjamin pengeluaran makanan negara, malah berpotensi melestarikan masa depan generasi muda, terutamanya jika mereka sendiri berminat untuk meneruskan legasi dalam bidang ini. – Chronivo

RELATED ARTICLES
Utama

Surau, Masjid berpotensi sebagai destinasi dakwah dan pelancongan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular