Oleh J. Evachel John
PENAMPANG: Program MyLesen B2 di Sabah diteruskan dengan pelaksanaan fasa kedua bermula Ogos ini, membabitkan 650 lagi peserta, susulan kejayaan fasa pertama yang menyaksikan penyertaan seramai 1,200 peserta.
Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli, berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) bersetuju menambah kuota tersebut untuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah bagi pengambilan peserta dalam kalangan pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi serta belia kurang berkemampuan.
“Kita telah bersetuju untuk melanjutkan program ini ke fasa kedua, di mana negeri Sabah akan menerima tambahan 650 peserta bagi separuh kedua tahun ini. Program MyLesen B2 fasa kedua akan bermula pada bulan Ogos dan dijangka berakhir sekitar Oktober atau November,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Penyerahan Lesen Memandu MyLesen (B2) Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025 di ITCC, hari ini.
Program Lesen Memandu MyLesen Kelas B2 ini merupakan satu usaha murni kerajaan, amnya, Kementerian Pengangkutan khasnya, melalui JPJ Malaysia yang menyasarkan pelajar-pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan golongan belia kategori B40, agar memperoleh lesen memandu motosikal Kelas B2 secara percuma.
Inisiatif Kementerian Pengangkutan, melalui JPJ Malaysia ini merupakan bukti komitmen dan keprihatinan kerajaan yang terarah kepada usaha meringankan beban golongan sasar terutamanya pelajar sekolah dan IPTA daripada latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan.
Bagi fasa pertama di negeri ini, yang bermula sejak Februari lalu, seramai 1,200 peserta telah menerima manfaat daripada Program MyLesen B2 bagi tahun 2025.
Pelaksanaannya melibatkan kerjasama tiga IPTA antaranya Universiti Teknologi MARA (UITM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Politeknik Kota Kinabalu, dan turut melibatkan lima Institut Memandu (IM).
Sehingga kini, program itu telah memberi manfaat kepada lebih 15,000 rakyat Malaysia, dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM5.2 juta.
Menurut Aedy, inisiatif ini bukan sahaja membolehkan peserta memperoleh lesen memandu yang sah, malah turut menjadi platform untuk memupuk kesedaran keselamatan jalan raya dan melahirkan generasi pengguna jalan raya yang berdisiplin dan bertanggungjawab.
Beliau turut mengingatkan penerima lesen memandu agar memanfaatkan kemudahan dengan sebaiknya dan mematuhi undang-undang jalan raya.
“Gunakan kemudahan ini untuk memudahkan pergerakan, mencari lubuk-lubuk ilmu dan rezeki untuk membantu diri sendiri serta keluarga tersayang.
“Yang paling penting, saya amat menyeru kepada semua peserta untuk terus mematuhi undang-undang jalan raya dan mengamalkan cara pemanduan berhemah. Ingatlah, kemudahan yang diberikan ini juga merupakan amanah yang harus dijaga bersama-sama.
“Kemudahan yang diberikan ini merupakan satu amanah. Sekiranya berlaku pelanggaran peraturan, lesen yang diberikan juga boleh ditarik semula,” katanya sambil menegaskan penerima lesen yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan termasuk menarik semula lesen memandu yang diberikan.
Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya mewakili Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor menyempurnakan Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program MyLesen (B2) tersebut.
Turut hadir , Pengarah JPJ Negeri Sabah, Datuk Mohd Harris Ali.
LINK BERITA TERDAHULU:
https://chronivo.my/2025/08/02/kerajaan-komited-bantu-rakyat-b40-1200-belia-sabah-terima-lesen-motosikal-percuma/