Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu : Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) H-II Kepala Batas Dan PPK Putatan hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh jalinan kolaborasi antara peladang Semenanjung dan Sabah.
Jalinan kolaborasi itu termasuklah dari segi aspek promosi, pengedaran, pemindahan teknologi, latihan serta pembangunan produk agro-usahawan tempatan.
Pertukaran MoU itu disaksikan Timbalan Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup sempena Hari Peladang, Penternak Dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Sabtu.
Inisiatif itu adalah selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan masyarakat melalui pemerkasaan ekonomi tempatan, keselamatan makanan negara dan pembangunan sektor pertanian yang mampan.
Terdahulu, pada majlis itu, Arthur turut melancarkan produk terbaharu berasaskan Mempelam Tobiar Gold, iaitu Serbuk Minuman Mangga JusGO.
Produk inovatif ini dibangunkan oleh PPK MADA H-II Kepala Batas dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
Pelancaran produk JusGO merupakan langkah strategik MADA dalam memperkukuh daya saing usahawan peladang tempatan dan memperluas pasaran produk agro-makanan berasaskan buah tempatan di peringkat nasional dan serantau. – Chronivo