Oleh J.Evachel John
PENAMPANG: Kerajaan Negeri Sabah dan Persekutuan terus memperkukuh kerjasama dalam melaksanakan pelbagai inisiatif, khususnya dalam aspek pengangkutan, demi kesejahteraan rakyat.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kerajaan sentiasa peka terhadap keperluan rakyat tanpa mengira Lokasi, sama ada di bandar atau luar bandar.
Beliau berkata, Program MyLesen B2 peringkat negeri Sabah merupakan bukti nyata kerjasama itu, di mana seramai 1,200 penerima manfaat di Sabah telah dikenal pasti bagi mendapatkan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2, iaitu bagi motosikal tidak melebihi 250cc.
“Program MyLesen B2 peringkat negeri Sabah ini adalah bukti kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Program MyLesen B2 merupakan inisiatif Kerajaan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di bawah Belanjawan 2025 yang bertujuan membantu 15,000 golongan kurang berkemampuan, terutamanya pelajar sekolah, pelajar institusi pengajian tinggi, dan belia B40, untuk mendapatkan Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B2 (motosikal tidak melebihi 250cc) dengan kos perlesenan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan.
“Bagi Sabah, seramai 1,200 penerima manfaat telah dikenalpasti,” katanya sempena Majlis Penyerahan Lesen Memandu Program Mylesen (B2) Peringkat Negeri Sabah Tahun 2025 di ITCC, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Hadir sama Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Malaysia Datuk Aedy Fadly Ramli dan Pengarah JPJ Negeri Sabah Datuk Mohd Harris Ali.
Tambah beliau, program atau inisiatif ini amat bermakna kerana membolehkan penerima manfaat memandu secara sah di sisi undang-undang, sekali gus memperkasa mobiliti rakyat untuk memperluaskan peluang pekerjaan, pendidikan dan ekonomi, terutamanya bagi masyarakat luar bandar.
Beliau berkata semua peserta program telah menjalani sesi ceramah dan latihan serta melalui proses pengujian oleh pegawai JPJ Negeri Sabah mengikut standard ditetapkan.
“Program anjuran JPJ ini juga bertepatan dengan aspirasi dan inisiatif Kerajaan Negeri Sabah di bawah pelan tindakan membasmi kemiskinan tegar dan memperkasakan mobiliti sosial, selaras dengan agenda Sabah Maju Jaya.
“Saya yakin jika inisiatif seperti ini diteruskan dan diperluaskan, kita bukan sahaja dapat mengurangkan beban rakyat, malah dapat membuka ruang yang lebih luas untuk anak-anak muda Sabah mengorak langkah ke arah masa depan yang lebih cerah,” katanya.
Beliau menambah, Kerajaan Negeri Sabah sentiasa menyambut baik serta menyokong penuh program dan usaha murni yang berteraskan manfaat kepada rakyat. Usaha sebegini wajar diteruskan agar lebih ramai rakyat, khususnya mereka yang memerlukan bantuan dari segi kewangan dan kemudahan, dapat menikmati manfaatnya.
“Dalam konteks kerajaan negeri, pelbagai bantuan dan inisiatif melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya 1.0 telah laksanakan kita untuk membantu rakyat khususnya golongan B40, sama ada dalam aspek peningkatan ekonomi dan Pendidikan,” katanya.
Beliau mengingatkan penerima supaya memanfaatkan lesen yang diberikan dengan sebaiknya dan menjadi pengguna jalan raya yang berdisiplin, berhemah, beretika serta bertanggungjawab.