Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Keluarga Zara Qairina Mahathir tidak pernah mengaitkan kematian pelajar Tingkatan 1 itu dengan mana-mana individu berprofil tinggi atau dikenali sebagai VVIP.
Penegasan itu dibuat menerusi peguam Hamid Ismail dan Shahlan Jufri, dalam suatu kenyataan rasmi mewakili ibu Zara, Noraidah Lamat.
“Kami dengan ini menyatakan bahawa anak guam kami (ibu Zara) tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang mengaitkan kematian Zara dengan mana-mana individu berprofil tinggi atau dikenali sebagai VVIP.
“Sebarang andaian atau dakwaan sedemikian adalah tidak berasas dan tidak datang daripada anak guam kami,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan pelbagai spekulasi dan dakwaan tidak berasas yang tular di media sosial sejak kematian Zara di sebuah sekolah agama di Papar, baru-baru ini.
Antara dakwaan yang tersebar termasuklah tuduhan mengaitkan penglibatan anak-anak menteri, VVIP, dan ahli keluarga dari pihak Istana Negeri Sabah dalam kes kematian tersebut.
Selain itu, keluarga juga menafikan terlibat dalam penyebaran maklumat mengenai insiden pelajar menjerit “kau pembunuh” kepada seorang pelajar tertentu pada hari kejadian.
“Anak guam kami juga tidak mempunyai sebarang maklumat atau pengetahuan berkaitan dakwaan kononnya terdapat teriakan “kau pembunuh” oleh para pelajar kepada seorang pelajar tertentu pada hari kejadian.
“Perkara ini hanyalah diketahui oleh anak guam kami menerusi hantaran yang tular di media sosial,” katanya.
Peguam turut menegaskan bahawa anak guam mereka tidak ada mengeluarkan kenyataan bahawa terdapat tiga pelajar sekolah telah dipindahkan dari dari sekolah terbabit pada hari kematian Zara.
Menurut peguam, maklumat itu hanya diketahui oleh anak guam mereka selepas ia tular di media sosial.
Sehubungan itu, pihak keluarga menyeru orang ramai agar menghentikan segala bentuk spekulasi dan penyebaran maklumat yang belum disahkan, yang boleh menjejaskan siasatan pihak berkuasa serta mencemarkan nama baik individu tertentu.
“Kami menyeru orang ramai agar menghentikan sebarang spekulasi atau penyebaran maklumat yang belum disahkan sama ada terhadap Zara, anak guam kami dan individu-individu lain.
“Tindakan menyebarkan dakwaan palsu boleh mengganggu siasatan polis
dan menimbulkan fitnah kepada mana-mana pihak.
“Sebarang maklumat yang boleh membantu siasatan polis boleh disalurkan kepada pihak polis atau kepada kami,” kata kenyataan itu lagi.