HomeUtamaSabah dan Sarawak sumbang 30.1% hasil jualan pertanian negara

Sabah dan Sarawak sumbang 30.1% hasil jualan pertanian negara

Read Time:2 Minute, 19 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Sabah dan Sarawak menyumbang 30.1 peratus hasil jualan pertanian negara, sekali gus membuktikan peranan penting kedua-dua wilayah dalam menjamin keterjaminan makanan nasional kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.

‘Daripada jumlah itu, sebanyak RM25.1 bilion disumbangkan oleh Sabah, manakala Sarawak menyumbang RM23.6 bilion, berdasarkan dapatan Laporan Interim Banci Pertanian 2024,” katanya ketika berucap pada Majlis Pra Pelancaran MyFood 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini pada Jumaat.

Beliau berkata kedua-dua negeri ini memiliki potensi luar biasa yang harus digembleng secara terancang untuk memperkukuh sektor agromakanan negara.

Beliau juga menekankan kepelbagaian hasil pertanian dan kepakaran tempatan di Sabah dan Sarawak perlu dipertingkatkan dan diketengahkan di platform lebih luas seperti MyFood 2026, yang dijadual berlangsung pada Mei 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC).

Menurut Arthur, sektor pertanian merupakan salah satu sektor utama dalam ekonomi Malaysia dan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara sejak awal kemerdekaan. Pada tahun lalu, sektor agromakanan menyumbang 11.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara, iaitu berjumlah RM186.01 bilion.

Beliau turut memetik laporan Global Food Security Index yang meletakkan Malaysia di tangga ke-41 dunia dan ke-8 di Asia Pasifik dalam aspek keterjaminan makanan.
Namun, menurutnya, negara masih berhadapan dengan defisit perdagangan sektor agromakanan yang tinggi dengan nilai eksport RM54.38 bilion berbanding import sebanyak RM93.73 bilion.

“Defisit ini perlu dikurangkan melalui pelaksanaan strategi menyeluruh bagi meningkatkan eksport produk pertanian dan agromakanan, terutamanya produk bernilai tinggi,” katanya.

Tambah beliau, kementeriannya komited untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran agromakanan tempatan melalui pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0) dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021–2025.

MyFood 2026 yang bakal
berlangsung dari 7 hingga 9 Mei 2026 di KLCC akan menjadi platform penting yang menghubungkan pelbagai pihak termasuk pemain industri, usahawan muda, penyelidik dan pembuat dasar.

Program ini bukan sekadar ekspo jualan, tetapi juga platform pemindahan ilmu menerusi forum, seminar dan kolaborasi pelbagai agensi dengan pendekatan ‘slow food’ berasaskan warisan, kelestarian dan pemprosesan berskala kecil.

Arthur berkata negara maju seperti Itali dan Jepun telah lama mengamalkan konsep ini, yang menyokong petani kecil dan menggalakkan pengeluaran makanan tempatan serta sistem makanan lestari. Malaysia perlu mencontohi kejayaan tersebut dan menjadi peneraju di rantau ASEAN.

Beliau juga menegaskan gaya hidup di kawasan luar bandar yang masih menanam sendiri bahan makanan memudahkan amalan konsep slow food berbanding di kawasan bandar yang lebih memerlukan inovasi teknologi seperti hidroponik.

Majlis pra pelancaran MyFood 2026 di Kota Kinabalu ini diadakan hasil kerjasama dengan Opulence Exhibition Services Sdn. Bhd. (OES), dan mendapat sokongan penuh kerajaan serta kementerian dalam usaha memperkasakan pengeluar makanan tempatan.

“Semoga MyFood 2026 menjadi medan untuk memperkasa pengeluar makanan tempatan agar keunikan dan kesinambungan produk makanan warisan kita terus terpelihara dan dikembangkan,” ujar Arthur.

RELATED ARTICLES
Utama

Kenyataan Shafie Tentang Kes Zara Disifatkan Tidak Bertanggungjawab Dan Prejudis

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular