Kota Kinabalu: Seramai 924 pelajar baharu Politeknik Kota Kinabalu (PKK) telah mengikuti Minggu Transformasi Siswa (MTS) Sesi I 2024/2025 di sini baru-baru ini.
Program yang bermula 27 Julai lalu itu adalah sebagai usaha menyediakan pelajar baharu dengan pengetahuan tentang cara hidup dan budaya pembelajaran di PKK.
Ketua Pegawai Eksekutif Sedafiat Sdn. Bhd., Datuk Ag Buhtamam Ag Mahmun berkata, PKK telah berjaya mencapai 100 peratus norma pengambilan pelajar bagi sesi kali ini.
“Dengan kemasukan pelajar baharu seramai 924 ini, PKK telah mecapai norma pengambilan pelajar yang ditetapkan.

“Ini terbukti bahawa PKK kekal relevan dan menjadi pilihan utama untuk menyambung pengajian diploma dan sijil,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Akademi, Ts Abdul Razak Mohd Daim berkata, pihaknya menyeru agar para pelajar baharu untuk mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan.
“Sekiranya terdapat sebarang masalah, anda boleh berhubung dengan mana-mana kakitangan PKK, agar kami boleh menyediakan platform yang terbaik dalam menyelesaikannya,” katanya.
Untuk rekod PKK telah mencapai 104 peratus ambilan pelajar baharu melebihi norma yang ditetapkan. – Chronivo / FOTO PKK