Oleh Erdie Ab Wahid
Kota Kinabalu: Perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini adalah kunci utama kepada kekuatan dan kemakmuran Sabah yang berterusan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, seluruh rakyat diseru agar terus memelihara keharmonian yang dinikmati hari ini sebagai warisan paling berharga untuk generasi akan datang.

“Perpaduan dalam kepelbagaian adalah kekuatan sebenar Sabah. Ia bukan kelemahan, sebaliknya keunikan yang harus kita banggakan dan pelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan, Hari Sabah dan Kempen Kibar Bendera 2025 di sini pada Jumaat.
Hajiji berkata, setiap individu bertanggungjawab menjadikan ruang seperti sekolah, tempat kerja, premis perniagaan, rumah ibadat dan ruang digital sebagai wadah memperkukuh persefahaman, bukannya menyemai perpecahan.
Mengulas kemajuan pembangunan negeri ini, beliau berkata pencapaian Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 setakat Mei 2025, menunjukkan kejayaan memberangsangkan dengan purata pelaksanaan mencecah 94 peratus daripada 467 inisiatif yang dirancang.
“Antara sektor yang terus menjadi keutamaan adalah pertanian, perindustrian dan pelancongan, selain usaha memperkukuh modal insan, kesejahteraan rakyat, jaringan infrastruktur dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, pelbagai bentuk bantuan rakyat turut disalurkan, termasuk memperkukuh akses pendidikan serta pengenalan Skim Insurans Perlindungan Rakyat Sabah yang memberi manfaat menyeluruh kepada rakyat.
Beliau turut mengajak seluruh lapisan masyarakat untuk mengibarkan Jalur Gemilang di mana-mana sahaja –sebagai simbol kesetiaan dan semangat cinta negara.
“Pelancaran hari ini bukan sekadar satu acara simbolik, tetapi satu seruan untuk kita menghayati makna sebenar kemerdekaan – bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi juga bebas daripada kemiskinan dan perpecahan,” katanya.
Menurutnya, sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah yang diraikan setiap Ogos merupakan detik bersejarah yang mengingatkan rakyat tentang perjuangan nenek moyang mempertahankan tanah air dan maruah bangsa.
“Sebagai rakyat Malaysia di Sabah, kita mempunyai tanggungjawab besar untuk mempertahankan nikmat kemerdekaan dan meneruskan legasi perjuangan ini,” katanya.
Majlis pelancaran itu diserikan dengan penyerahan bendera kepada jabatan dan agensi kerajaan negeri dan persekutuan, wakil persatuan dan pelancaran Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2025. – Chronivo