Kota Kinabalu: Penganjuran Pesta Kubis Kundasang kali ke-25 tahun ini dijangka menarik kehadiran lebih 20,000 pengunjung ke daerah Ranau.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Pesta Kubi, Datuk Japiril Suhaimin berkata, ia berikutan pengumuman cuti tambahan 15 September 2025 oleh Perdana Menteri baru-baru ini.
“Pesta Kubis akan berlangsung di Pentas Budaya Kundasang, di perkarangan Pekan Kundasang pada 13 hingga 16 September 2025.

“Berdasarkan pengalaman tahun-tahun lalu, pengunjung dalam 15,000 hingga 20,000 sepanjang empat hari. Jadi, pada kali ini kerana cuti tambahan, saya ingat lebih ramai yang akan hadir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini
Japiril berkata, antara pengisian pesta tersebut adalah penganugerahan kepada para petani berjaya dalam bidang pertanian dan pelancongan, di samping pameran sayur-sayuran yang ditanam di Kundasang.
Katanya, kunjungan tersebut bertujuan untuk menyampaikan jemputan rasmi kepada Tun Musa untuk menyempurnakan perasmian pesta tersebut.
Pesta Kubis yang dilaksanakan sejak tahun 1997 pernah memasuki kalendar pelancongan sebelum ditiadakan selama dua tahun ekoran pandemik Covid-19.