Oleh Sitti Nor Azizah Talata
KUNAK: Daerah Kunak hari ini mencatat detik bersejarah dengan pelancaran rasmi Projek Bandar Baharu Kunak yang dijangka menjadi pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi dan kemodenan daerah ini.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menyifatkan projek itu sebagai pusat pertumbuhan serba lengkap yang mampu mengubah wajah Kunak dan menjadikannya setanding dengan bandar-bandar lain di Sabah.
Menurut beliau, projek ini akan menjadi ‘nukleus’ kepada pelbagai aktiviti ekonomi dan memberikan peluang lebih luas kepada daerah ini untuk terus bergerak maju.
“Saya cukup tertarik dengan perancangan projek ini yang diyakini mampu menyediakan prasarana moden serta menyokong pertumbuhan pelbagai sektor ekonomi di Kunak,” katanya selepas majlis pecah tanah Kunak New Township di sini, hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Norazlinah Arif; ADUN Sebatik, Datuk Hassan A Ghani dan Pengarah Amazing Synergy Realty Sdn Bhd, Chia Seong Pow selaku pemaju utama projek berkenaan.
Lokasi strategik bandar baharu itu yang terletak berhampiran Lebuhraya Pan Borneo memberi kelebihan besar kepada Kunak dalam jangka masa panjang, khususnya dari segi akses dan logistik.
Masidi berkata, projek ini akan dilaksanakan secara berfasa dalam tempoh lima hingga 15 tahun, memberi ruang kepada perancangan teliti oleh pemaju dan pengguna akhir.
“Saya merakamkan penghargaan kepada Amazing Synergy Realty Sdn Bhd atas keyakinan mereka memilih Kunak sebagai tapak pelaburan. Ini menunjukkan potensi besar yang ada di daerah ini,” tambah beliau.
Katanya, pembangunan bandar ini juga diyakini akan merancakkan sektor pelancongan di Kunak yang selama ini kurang diberi perhatian meskipun memiliki banyak tarikan menarik.
Beliau menjelaskan, kemudahan pelancongan seperti tempat tinggal akan turut disediakan, sekali gus menarik lebih ramai pelancong ke daerah tersebut.
Selain pelancongan, projek ini dijangka memberi limpahan ekonomi kepada sektor pertanian dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan melalui wujudnya pasaran baharu.
“Apabila ada bandar, ada pasaran. Ini peluang untuk penduduk tempatan hasilkan produk pertanian atau kraftangan untuk dijual, terutama dengan kemudahan lebuh raya yang mempercepatkan pengangkutan ke Kota Kinabalu,” katanya.
Masidi turut menyatakan bahawa bandar baharu ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada penduduk Kunak, tetapi juga kepada pengguna Lebuhraya Pan Borneo yang melalui kawasan tersebut, sekaligus memperluas skop ekonomi setempat.
Beliau menegaskan bahawa pertumbuhan ekonomi Sabah tidak hanya bergantung kepada bandar besar, malah sumbangan dari daerah kecil seperti Kunak tetap memberi impak besar secara kumulatif terhadap ekonomi negeri.