HomeUtamaImigresen Sabah gesa Konsul, Kedutaan segerakan dokumen SPLP

Imigresen Sabah gesa Konsul, Kedutaan segerakan dokumen SPLP

Read Time:1 Minute, 56 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Sebanyak 108 tahanan warga Indonesia dihantar pulang ke negara asal mereka hari ini melalui Pusat Pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Tawau ke Nunukan, Indonesia.

Daripada jumlah itu, 82 orang adalah lelaki dewasa, manakala 26 adalah wanita, kesemuanya berumur antara 18 hingga 65 tahun.

Ini merupakan kali ke-104 pemindahan yang dijalankan, menjadikan jumlah keseluruhan warga Indonesia yang telah dipindahkan sejak awal program ini kepada 1,243 orang.

Menurut Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh. Sitti Saleha Habib Yussof, proses pemindahan hanya dapat dilaksanakan setelah dokumen Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) dikeluarkan oleh pihak Konsulat Indonesia di Tawau.

“Buat masa ini, masih terdapat 969 tahanan warga Indonesia yang masih berada di depot-depot tahanan di Sabah termasuk Tawau, Sandakan, Papar dan Kota Kinabalu, menunggu dokumen SPLP untuk membolehkan mereka dihantar pulang.

“Saya memohon kerjasama pihak Konsul Indonesia di Tawau dan Kota Kinabalu agar dapat menyegerakan pengeluaran dokumen SPLP ini supaya tahanan yang telah lama berada di depoh dapat dipindahkan ke negara asal dan meneruskan kehidupan seperti biasa,” kata beliau dalam sidang media, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa prosedur pengusiran tahanan memerlukan dokumen perjalanan sah seperti SPLP atau dokumen daripada kedutaan negara asal kerana kelewatan pengeluaran dokumen oleh pihak konsulat menyebabkan tahanan terpaksa berada lebih lama di pusat-pusat tahanan.

Dalam perkembangan berkaitan, seramai 11 warga Pakistan ditahan oleh pihak Jabatan Imigresen Semporna dalam satu operasi yang dijalankan dari jam 11 malam hingga 3 pagi semalam.

Beliau berkata, tiga daripada mereka mendakwa memiliki dokumen sah, termasuk dokumen jaminan pasangan warganegara dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), namun mereka kini ditahan selama 14 hari di Depot Tawau bagi tujuan siasatan lanjut.

Sementara itu, Sitti Saleha berkata, statistik Jabatan Imigresen Sabah menunjukkan bahawa sepanjang 2025 sehingga kini, sebanyak 6,454 orang tahanan telah dipindahkan ke negara asal masing-masing, termasuk warga Filipina (4,989 orang), Indonesia (1,283), Pakistan (104), Vietnam (11), China (48) dan lain-lain (19).

Beliau turut menegaskan bahawa kelewatan pengeluaran dokumen perjalanan dari pihak konsulat akan terus membebankan kapasiti depoh dan menjejaskan kesejahteraan tahanan.

“Kita harap pihak konsulat dapat turun padang dengan segera untuk membantu mempercepatkan proses dokumentasi ini,” tegas beliau.

Pemindahan terakhir tahanan Indonesia sebelum ini telah dijalankan pada Mac 2025, menjadikan tempoh tahanan bagi sebahagian mereka mencecah tiga hingga empat bulan, hanya disebabkan kelewatan dokumen.

RELATED ARTICLES
Utama

Kenyataan Shafie Tentang Kes Zara Disifatkan Tidak Bertanggungjawab Dan Prejudis

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular