HomeUtamaESG teras pembangunan mampan Kota Kinabalu

ESG teras pembangunan mampan Kota Kinabalu

Read Time:1 Minute, 37 Second

Kota Kinabalu:   Pendekatan berteraskan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) menjadi tunjang kerjasama strategik antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Petco Trading Labuan Company Ltd. dan Alpha Ocean Resources Berhad (AORB).

Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, kerjasama itu selaras dengan Pelan Strategik Bandaraya Kota Kinabalu 2025–2035 dan aspirasi Pelan Tindakan Bandar Rendah Karbon yang mengutamakan keseimbangan antara pembangunan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan sosial.

“Pendekatan tadbir urus berasaskan prinsip ESG akan terus diterapkan agar pembangunan berlangsung secara seimbang dan beretika, tanpa menjejaskan komuniti nelayan pesisir atau mencemari sumber laut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara DBKK dan Petco serta Memorandum Perjanjian (MoA) bersama AORB di sini, Rabu.

Sabin berkata DBKK turut melaksanakan pelbagai inisiatif selari dengan Agenda Bandar Baharu oleh UN-Habitat yang menekankan pembangunan bandar secara inklusif, tangkas menghadapi perubahan iklim serta kompetitif dalam ekonomi digital dan inovasi teknologi.

“Dalam dunia yang semakin saling bergantung, keupayaan menyesuaikan diri, berinovasi dan menjalin kerjasama pintar antara pelbagai pihak berkepentingan menjadi penentu masa depan sesebuah bandar,” katanya.

Mengenai inisiatif biogas di Kayu Madang, beliau berkata ia bukan sahaja penyelesaian kepada sisa pepejal di kawasan Pantai Barat, malah menjadi pemangkin kepada tenaga boleh diperbaharui dengan kapasiti penjanaan sehingga dua Megawatt.

“Tenaga hijau ini mampu menyokong keperluan elektrik 2,000 rumah atau beberapa zon industri ringan, serta meningkatkan kelayakan produk sektor pembuatan di bawah piawaian sustainable manufacturing,” katanya.

Menurutnya, projek itu juga menyokong Sasaran Ketiga Pelan Bandar Rendah Karbon DBKK bagi mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030 selari komitmen Malaysia dalam Perjanjian Paris 2015.

“Inisiatif ini bukan sahaja memberi nilai strategik kepada bandar raya tetapi turut mengukuhkan matlamat pembangunan hijau dan ekonomi kitaran Negeri Sabah,” katanya.

Sabin berkata pendekatan pembangunan DBKK bersifat menyeluruh dan berteraskan jangka panjang adalah seiring usaha menjadikan Kota Kinabalu sebagai Bandaraya Mesra Alam, Pintar dan Berdaya Huni yang menitikberatkan keseimbangan antara ekonomi dan ekologi.

RELATED ARTICLES
EnglishUtama

‘Reckless, Dangerous and Disgusting’: Lawyers Hit Back at Shafie Over Zara...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular