HomePendapatKDNK, Pengangguran dan Underemployment: Sabah Perlu Dana Adil Untuk Bangkit

KDNK, Pengangguran dan Underemployment: Sabah Perlu Dana Adil Untuk Bangkit

Read Time:4 Minute, 9 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

Kota Kinabalu — Kerajaan Persekutuan disaran menyegerakan pembayaran penuh Geran Khas Tahunan 40 peratus kepada Sabah sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sejak tahun 1973, Kerajaan Persekutuan didakwa gagal melaksanakan peruntukan berkenaan, sekali gus mengabaikan hak yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Sabah.

Beberapa hari lalu, selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), Timbalan Perdana Menteri dilaporkan berkata bahawa keputusan berhubung pembayaran Geran Khas Tahunan 40 peratus kepada Sabah dijangka dimuktamadkan sebelum sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2025.

Menurut beliau, cadangan penyelesaian berkaitan pembayaran geran tersebut telah dikemukakan oleh Kerajaan Sabah dan akan dibentangkan kepada Perdana Menteri sebelum Mesyuarat MTPMA63 yang dijadualkan berlangsung pada 12 September 2025.

Sabah merupakan sebuah negeri yang kaya dengan hasil bumi, di mana sektor ekonomi berupaya menjana pendapatan berbilion ringgit setiap tahun. Sebagai contoh, gabungan sektor Pertanian dan Perlombongan & Pengkuarian menyumbang sekitar 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah.

Malah, Sabah adalah penyumbang kedua terbesar kepada sektor Perlombongan & Pengkuarian negara (18.8%) dan keempat terbesar bagi sektor Pertanian (11.8%).

Namun begitu, hasil yang dijana tersebut tidak sepenuhnya dinikmati oleh rakyat Sabah kerana ia dikutip oleh Kerajaan Persekutuan dan tidak dikembalikan mengikut ketetapan Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan.

Kegagalan memperoleh kembali hasil ini menyebabkan Sabah ketinggalan daripada agenda pembangunan negara. Negeri itu seolah-olah ‘terbeku dalam masa’ manakala negeri-negeri lain terus berkembang pesat. Statistik sedia ada jelas menunjukkan Sabah masih jauh ketinggalan dari segi pembangunan ekonomi dan sosial.

Laporan KDNK 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan Sabah mencatatkan pertumbuhan terendah di Malaysia iaitu hanya 1.1 peratus pada tahun 2024. 

Pertumbuhan ekonomi yang perlahan ini turut menyumbang kepada kadar pengangguran yang kekal tinggi. Ini menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi di Sabah masih belum mampu menyediakan peluang pekerjaan baharu yang mencukupi.

Berdasarkan Laporan Survei Tenaga Buruh 2024 oleh DOSM yang diterbitkan pada Jun 2025, Sabah mencatat kadar pengangguran tertinggi di Malaysia iaitu 7.6 peratus bagi tahun 2024. Angka ini adalah lebih dua kali ganda daripada kadar pengangguran kebangsaan sebanyak 3.2 peratus.

Lebih membimbangkan, kadar pengangguran negara menurun dari 3.4 peratus (2023) kepada 3.2 peratus (2024), manakala Sabah mencatat peningkatan dari 7.5 peratus kepada 7.6 peratus. Hanya Sabah, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang merekodkan peningkatan kadar pengangguran.

Pertumbuhan ekonomi yang perlahan juga tidak dapat menyediakan peluang pekerjaan yang mencukupi kepada pekerja berpendidikan tinggi. Laporan sama menyatakan Sabah merekodkan kadar Guna Tenaga Tidak Penuh Berkaitan Kemahiran sebanyak 40.9 peratus pada 2024, meningkat berbanding 35.8 peratus pada 2023, dan lebih tinggi daripada kadar nasional iaitu 36.1 peratus.

Kadar ini merujuk kepada situasi pekerja yang memiliki pendidikan tertiari tetapi bekerja dalam kategori separa mahir atau berkemahiran rendah — satu bentuk underemployment.

Ini bermakna lebih 40 peratus pekerja Sabah yang berkelulusan tertiari terpaksa bekerja dalam pekerjaan separa mahir atau rendah. Peningkatan mendadak sebanyak 5.1 peratus dalam tempoh setahun mencerminkan situasi yang semakin kritikal.

Ini turut memberi isyarat bahawa pelaburan ke dalam Sabah tidak menghasilkan cukup pekerjaan mahir bagi menampung jumlah graduan yang memasuki pasaran pekerjaan setiap tahun.

Akibatnya, ramai dalam kalangan mereka kecewa kerana tidak memperoleh pekerjaan serta pendapatan setimpal dengan kelayakan. Ramai juga gagal membayar balik pinjaman pendidikan. Pada Jun 2025, Menteri Pendidikan Tinggi mendedahkan seramai 400,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di seluruh negara masih belum membayar balik pinjaman bernilai RM5 bilion.

Laporan DOSM

Laporan DOSM turut mendedahkan bahawa daripada 1.858 juta tenaga kerja di Sabah, 321,000 (17.3%) memiliki pendidikan tertiari; 868,000 (46.7%) pendidikan menengah; 457,600 (24.6%) pendidikan rendah; dan 211,700 (11.4%) tidak memiliki pendidikan rasmi.

Jumlah pekerja yang tidak mempunyai pendidikan rasmi di Sabah merangkumi 55.3 peratus daripada keseluruhan negara (382,900), menjadikan Sabah negeri dengan peratusan tertinggi. Sebagai perbandingan, Sarawak berada di tempat kedua (8.2%), diikuti Kelantan (5.0%).

Dengan komposisi tenaga kerja sedemikian, adalah sukar untuk menyokong agenda pembangunan negeri, khususnya dalam menarik pelaburan ke dalam industri berteknologi tinggi dan bernilai tambah, yang amat diperlukan untuk mempelbagaikan asas ekonomi Sabah yang masih tertumpu kepada sektor pertanian dan perlombongan.

Sabah telah terlalu lama terpinggir daripada arus pembangunan nasional, sehinggakan isu-isu legasi terus membelenggu usaha pembangunan negeri ini. Hakikatnya, tanpa penyelesaian kepada isu-isu legasi tersebut, Sabah tidak akan mampu melangkah ke hadapan.

Ia menjadi seperti dilema “ayam dan telur” – manakah perlu didahulukan? Pembangunan dahulu, atau penyelesaian isu-isu legasi terlebih dahulu?

Walaupun Kerajaan Sabah berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif melalui agenda Sabah Maju Jaya, usaha ini masih belum mencukupi untuk mencetus lonjakan ekonomi dan sosial yang diharapkan. Pendekatan ‘piecemeal’ atau bertahap tidak lagi memadai.

Situasi meruncing ini menuntut satu pendekatan transformatif dan menyeluruh. Ia bukan sahaja memerlukan keazaman politik, tetapi juga suntikan dana yang besar bagi membina ekosistem pembangunan yang mampan.

Lonjakan pembangunan ini hanya boleh dicapai sekiranya pembayaran penuh Geran Khas Tahunan 40 peratus dilaksanakan secara konsisten. Jika tidak, Sabah akan terus terperangkap dalam kancah kemunduran, kekal sebagai wilayah paling perlahan membangun dan mengekalkan kedudukan tertinggi dalam kadar pengangguran nasional.

RELATED ARTICLES
Utama

800 bungkusan makanan disumbangkan kepada mangsa banjir, petugas di Penampang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular