Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seramai 14 orang warganegara Pakistan dijatuhi hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Sesyen di sini atas pelbagai kesalahan imigresen.
Tertuduh adalah Rahat Khan, Khan Junaid, Aamir Khan, Ali Shahab, Ahmad Uzair, Hassan Nawab, Shams, Inayat Ur Rahman, Irfan Khan, Said Nawab, Muhammad Osama, Sajid Khan, Irshad Muhammad, Ali Niaz.
Kesemua mereka mengaku bersalah secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Hurman Hussain, terhadap pertuduhan masing-masing.
Sembilan individu – Rahat, Khan, Hassan, Irfan, Said, Muhammad, Sajid, Irshad dan Ali Niaz – didapati tinggal lebih masa di Sabah, ada yang melebihi setahun, setelah Pas Lawatan Sosial, Pas Khas dan Pas Lawatan Kerja Sementara didapati tamat tempoh.
Rahat dan Khan masing-maisng dipenjara 12 bulan dan enam bulan.
Hassan dikenakan denda RM12, 000 gagal bayar 12 bulan penjara manakala tertuduh yang lain dikenakan denda RM10, 000. Jika gagal bayar mereka berdepan penjara antara enam dan 12 bulan.
Ali turut dikenakan denda RM3,000, dan jika gagal membayar, akan dipenjara selama empat bulan kerana memasuki negeri ini tanpa pas yang sah.
Empat lagi tertuduh – Aamir, Ali Shahab, Shams dan Inayat – masing-maisng dihukum kerana memasuki negeri ini tanpa suatu pas yang sah.
Shams dipenjara empat bulan, manakala tertuduh yang lain didenda antara RM3, 000 dan RM5, 000.
Ali Shahab turut dikenakan denda RM500 atau tiga bulan penjara kerana melanggar syarat Pas Lawatan Kerja Sementara yang telah dikeluarkan kepadanya, di mana tertuduh hanya dibenarkan untuk berada di Semenanjung Malaysia sahaja.
Seorang lagi tertuduh iaitu Ahmad dikenakan denda RM500 atau tiga bulan penjara kerana melanggar syarat pas yang dikeluarkan kepadanya.
Sebahagian daripada tertuduh telah membayar denda yang dikenakan, manakala mereka yang gagal membayar telah mula menjalani hukuman penjara seperti yang diarahkan oleh mahkamah.
Kesemua tertuduh ditangkap di beberapa lokasi berbeza di sekitar Penampang, Manggatal dan Kota Belud dalam satu operasi yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen pada bulan Julai tahun ini.
Mahkamah turut memerintahkan agar semua tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas mereka menyelesaikan hukuman sama ada melalui pembayaran denda atau selesai menjalani tempoh penjara.
Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen, Chin Tze Mee dan Mohd Sharifuddin Salim.