HomeUtamaPGA Sabah tumpas sindiket ayam sabung dan rokok seludup bernilai lebih RM12...

PGA Sabah tumpas sindiket ayam sabung dan rokok seludup bernilai lebih RM12 juta

Read Time:1 Minute, 37 Second

KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah berjaya mematahkan kegiatan penyeludupan rokok dan ayam sabung baka Filipina dalam beberapa siri serbuan bersepadu di daerah Tuaran, Beluran, Sandakan dan Tawau, dengan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai lebih RM12 juta.

Pasukam PGA menahan suspek bersama rokok pelbagai jenis yang cuba diseludup masuk dari negara jiran baru-baru ini. – Foto ihsan PGA Briged Sabah

Operasi antara 25 hingga 29 Julai 2025 itu dilaksanakan menerusi Op Kontraban dan Op Bersepadu Khazanah oleh pasukan PGA dari Batalion (BN) 14 Tawau, BN 15 Sandakan dan BN 20 Beluran, bersama Task Force Perisikan Ibu Pejabat Briged Sabah serta beberapa agensi penguat kuasa lain, termasuk Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan pihak berkuasa tempatan.

Komander Briged Sabah PGA, Datuk Abdul Rani Alias berkata, serbuan pertama pada 25 Julai di Sandakan membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan dan rampasan 3.1 juta batang rokok putih pelbagai jenis dipercayai diseludup dari negara jiran, bersama sebuah lori treler. Nilai rampasan termasuk cukai dianggarkan RM5.57 juta.

“Seterusnya, antara 27 hingga 29 Julai, lapan individu terdiri daripada lima lelaki tempatan, dua warga Indonesia dan seorang warga Filipina turut ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan penternakan dan penyeludupan ayam sabung tanpa permit.

“Sebanyak 1,637 ekor ayam baka Filipina serta ubat-ubatan dan peralatan lain bernilai lebih RM6.7 juta dirampas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kesemua rampasan diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan lanjut mengikut Enakmen Kebajikan Haiwan 2015, Enakmen Hidupan Liar 1997 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976. Sementara itu, kes rokok seludup disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

Menurut Abdul Rani, kejayaan operasi itu diyakini dapat memutuskan rangkaian sindiket penyeludupan rokok dan ayam sabung dari Filipina, sekali gus menunjukkan komitmen berterusan PGA dalam membanteras jenayah rentas sempadan di negeri ini.

Beliau turut menasihatkan orang awam agar menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan kepada pihak polis dan memastikan sebarang aktiviti penternakan dijalankan dengan permit yang sah bagi mengelak tindakan undang-undang.

RELATED ARTICLES
Utama

Dua ‘Datuk’ antara lima individu ditahan Ops Karen seleweng diesel RM247...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular