Kota Kinabalu: Persatuan Rungus Bersatu Sabah (PRBS) beriltizam untuk terus memperkasa budaya dan warisan etnik Rungus di negeri ini melalui pelbagai inisiatif pembangunan komuniti.
Presidennya, OKK Makinsos Nawai berkata, usaha sedang digerakkan untuk mencari sumber kewangan alternatif tanpa terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.
“Inisiatif memang ada, tetapi pada masa ini dana pertubuhan tidak mencukupi sebab itu kita akan berusaha mencari sumber sendiri. Kalau kita asyik meminta kepada kerajaan semata-mata pun susah juga.

“PRBS telah merangka pelbagai program seperti penubuhan sekolah pendidikan Bahasa Rungus dan pusat latihan seni budaya seperti tenunan serta kraftangan tradisional,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman di sini, pada Selasa.
Makinsos berkata, kunjungan tersebut bertujuan untuk memberi taklimat mengenai aktiviti-aktiviti serta peranan pertubuhan dalam memartabatkan dan memajukan suku kaum rungus melalui pelbagai aktiviti pembangunan sosial, pendidikan dan kebudayaan.
Untuk rekod, PRBS kini mempunyai lebih 1,200 ahli dari kawasan Kudat, Matunggong, Kota Marudu, Pitas, Paitan dan Beluran.
Persatuan itu juga berjaya melahirkan ramai tokoh intelektual dalam kalangan etnik Rungus, termasuk doktor dan profesional lain.Turut hadir pada kunjungan tersebut ialah Penaung PRBS, Sarapin Magana, Timbalan Presiden, Rico Rayliko Ongikal serta Naib Presiden II,Onius Tamaki.-