Sandakan : Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) menafikan dakwaan berhubung nilai dua buah lori yang dirampas di Ranau baru-baru ini dengan muatan balak bernilai RM 2.68 juta seperti yang tular di media sosial.
Ketua Konservator Hutan Jabatan Perhutanan Sabah, Datuk Frederick Kugan berkata, berdasarkan harga pasaran pemprosesan kayu kayan domestik, pihaknya mengesahkan nilai komersial semua balak dianggarkan berjumlah RM 31,600.
Katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati kedua-dua lori balak telah mengangkut dan memindahkan 59 batang balak.
“Siasatan lanjut JPS mengesahkan semua balak merupakan keluaran dari lesen membalak Borang I pelesen Sabah Energy Corporation Sdn Bhd di daerah Sipitang dan semua bayaran royalti berjumlah RM4,732.70 telah dijelaskan kepada Kerajaan Negeri.
“Susulan kesalahan yang dilakukan, pelesen telah dikenakan denda berjumlah RM1,600,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Frederick berkata, penahanan dibuat dalam Operasi Khazanah pada Rabu lalu jam 1.30 di Kampunt Randagong Ranau.
Katanya, kedua-dua lori balak ditahan tanpa pas memindah balak ( Removal Pass) dan kebenaran bergerak selepas jam 7 malam hingga 7 pagi dari Jabatan Perhutanan.
Menurutnya lagi, pihaknya sentiasa menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan hasil hutan negeri dilindungi dan aktiviti pembalakan dijalankan mengikut undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan. – Chronivo