PENAMPANG: Polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing berusia 34 tahun yang disyaki terlibat dalam kes amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan di Putatan baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, suspek ditahan hasil maklumat awam dan risikan oleh sepasukan polis dari Balai Polis Putatan kira-kira jam 6.00 petang semalam, di tepi jalan sekitar Putatan.
“Penahanan ini adalah hasil kerjasama masyarakat yang tampil menyalurkan maklumat mengenai keberadaan suspek dan tindakan pantas anggota kami di lapangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam atas keprihatinan serta mengucapkan tahniah kepada anggota dan pegawai terlibat yang cekap dalam usaha mengesan dan menahan suspek.
Suspek kini ditahan reman sementara kertas siasatan dilengkapkan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara dan sebatan jika sabit kesalahan.