Kota Kinabalu: Sabah bercadang untuk memberikan pendidikan secara percuma kepada pelajar yang mengikuti pengajian di empat buah institusi pendidikan milik Kerajaan negeri.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, antara institusi terlibat adalah Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF).
Selain itu, turut terlibat Institut Latihan Teknik dan Perindustrian (ILTP) dan Institut Tahfiz Al-Quran Sabah (ITQAS).
“InsyaAllah ini dalam proses. Seperti ITQAS, ia mempunyai pengajian diploma tahfiz dibawah Kerajaan negeri, semua sudah percuma selain ILTP dibawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) juga sudah percuma.
“Kini hanya tinggal KTYS dan UCSF sahaja masih belum percuma, hanya tinggal 20 peratus lagi untuk kita capai kearah pendidikan percuma,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Persidangan Agung Tahunan (PAT) Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Ahad.
Arifin yang juga Naib Presiden Gagasan Rakyat berkata, Kerajaan negeri amat komited untuk memperkasakan sektor pendidikan dengan jumlah keseluruhan peruntukan mencecah RM385 juta, merangkumi pelbagai inisiatif serta program sokongan pendidikan.
Katanya, sebahagian besar peruntukan itu diperuntukkan melalui Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) dan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS).
Menurutnya, peruntukan BKNS yang meningkat ketara dari RM50 juta pada 2019 kepada RM136 juta bagi separuh kedua tahun 2025, mencerminkan peningkatan sebanyak RM86 juta dalam tempoh enam tahun.
“Ini merupakan satu pelaburan masa depan yang cukup signifikan untuk rakyat Sabah,” katanya.
Antara inisiatif pendidikan yang telah dilaksanakan termasuk program seperti Bagus, Bisbah, Balkis, Sukses, Bantu, Semesta, Bistari, Bakti, Budi, Baik, Aksa, Grs-Subfly, Sentosa Dan Bayu, yang menyasarkan pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi.
Katanya, dalam aspek agihan biasiswa BKNS, seramai 11,858 pelajar telah menerima manfaat di negeri Sabah.
“Ini menunjukkan kesamarataan Ketua Menteri kita, beliau tidak ‘tapuk-tapuk’. Ini jelas, bumiputera Islam, bukan Islam dan bukan bumiputera semua dapat. Ini sesuai dengan dasar kita.
“Jika ikut daerah, semua daerah dapat. Putatan dapat, Beaufort dapat, Semporna dan Penampang pun dapat. Semua dapat bantuan yang Kerajaan negeri salurkan. Ini tanda Ketua Menteri kita sangat adil dalam kesaksaman yang kita perlukan,” katanya. – Chronivo