HomePolitikHajiji gesa sayap Gagasan Rakyat perhebat jentera hadapi PRN17

Hajiji gesa sayap Gagasan Rakyat perhebat jentera hadapi PRN17

Read Time:2 Minute, 10 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor menyeru ketiga-tiga sayap parti Wanita, Pemuda dan Beliawanis untuk memperhebatkan jentera di semua peringkat menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah yang semakin hampir.

Menurut beliau, seluruh kepimpinan parti termasuk di peringkat bahagian dan cawangan harus bersatu tenaga mendepani cabaran masa depan, menangkis fitnah pembangkang dan memastikan Gagasan Rakyat kekal sebagai parti pilihan utama rakyat Sabah.

“Kepada sayap-sayap parti yang dikasihi, kepada seluruh kepimpinan Gagasan Rakyat di semua peringkat, bahagian dan cawangan, marilah bersama-sama saya memperhebatkan perjuangan dalam menghadapi cabaran masa depan, menghadapi tohmahan dan fitnah pembangkang, dan lebih penting, menghadapi pilihan raya negeri yang bakal menjelang,” katanya semasa menyampaikan ucapan dasar sempena Persidangan Agung Tahunan 2025 Gagasan Rakyat di SICC di sini, hari ini.

Hajiji berkata, Gagasan Rakyat membawa agenda besar untuk melonjakkan Sabah ke arah kejayaan yang gilang-gemilang, dengan kemajuan pesat dan pembangunan seimbang yang dapat dinikmati rakyat sama ada di kota, desa mahupun kawasan pedalaman.

Jelas beliau, segala kemajuan yang dicapai setakat ini adalah hasil iltizam politik yang tinggi serta iklim ekonomi yang semakin baik berikutan usaha dan kerja keras yang telah digembleng selama ini.

Kepada sayap Wanita, Hajiji menyifatkan mereka sebagai tulang belakang parti yang memainkan peranan besar dalam mengukuhkan hubungan dengan rakyat melalui inisiatif seperti Ziarah Sayang Wanita. Beliau menyeru agar pendekatan turun padang dari rumah ke rumah terus dipergiatkan demi menjadikan parti lebih dekat dan dipercayai oleh masyarakat.

“Saya ingin menzahirkan penghargaan atas usaha berterusan yang saudari laksanakan khususnya melalui inisiatif Ziarah Sayang Wanita, satu pendekatan yang cukup berkesan menyantuni rakyat secara langsung. Ia bukan sekadar menzahirkan keprihatinan parti, tetapi menjadi jambatan hati antara rakyat dan pemimpin,” katanya.

Bagi sayap Pemuda, Hajiji menyifatkan mereka sebagai hulubalang parti yang perlu kekal relevan dan agresif dalam mendekati golongan muda, terutama melalui platform Gagah Muda (GAHMUDA) yang kini menjadi saluran utama menjangkau 970,000 pengundi muda di Sabah. Beliau turut menggesa agar kekuatan tentera siber parti diperkukuh kerana media sosial adalah medan perjuangan politik masa kini.

Manakala Beliawanis pula dianggap sebagai sayap segar dan penuh potensi yang diyakini mampu menjadi agen perubahan, khususnya dalam memenangi hati lebih 103,000 pengundi kali pertama yang akan mengundi pada PRN akan datang. Hajiji turut menyeru Beliawanis membangkitkan semangat wanita muda untuk tampil ke hadapan dalam arena politik dan menyuarakan aspirasi rakyat.

Sehubungan dengan itu, Hajiji mengajak ketiga-tiga sayap parti untuk terus berganding bahu dan membuktikan bahawa Gagasan Rakyat adalah harapan masa depan rakyat Sabah.

“Inilah waktunya untuk kita buktikan bahawa Parti Gagasan Rakyat Sabah adalah harapan masa depan rakyat Sabah,” tegasnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah cadang beri pendidikan percuma untuk pelajar lanjut ke IPT milik...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular