Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Hajiji Noor menyuntik semangat perjuangan kepada seluruh jentera parti menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) dengan laungan simbolik penuh makna, “Master is here, master is not there.”
Menurut beliau, laungan itu membawa maksud bahawa kepimpinan sebenar, kekuatan dan hala tuju politik Sabah berada bersama kerajaan negeri yang ada sekarang, bukannya di pihak lain.
“Perhimpunan ini bukan sekadar mesyuarat tahunan yang biasa-biasa, tetapi satu perhimpunan yang sangat penting untuk kita menyatukan tekad dan langkah. Inilah gelanggang terbaik untuk kita sama-sama melihat ke dalam diri, menaksir pencapaian dan menilai cabaran-cabaran yang mendatang,” katanya semasa menyampaikan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Tahunan Gagasan Rakyat 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad.
Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah menegaskan bahawa PRN akan datang adalah medan penentu, justeru semua kekuatan parti perlu digerakkan dengan semangat dan iltizam tinggi bagi memastikan kemenangan terus berpihak kepada Gagasan Rakyat.
“Pada hari ini, kita akan laungkan azam dan iltizam kita. Kita akan zahirkan semangat dan tekad suci kita. Kita akan canangkan slogan serta semboyan perjuangan dalam menghadapi pilihan raya yang bakal menjelang tiba.
“Inilah masa dan ketikanya. Inilah detik dan waktunya. Kerana kalau bukan sekarang, bila lagi? Kalau bukan kita, siapa lagi? Ini kalilah! Sabah Tanah Airku! “Master is here, master is not there,” tegasnya.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada ribuan perwakilan dan pemerhati dari seluruh negeri yang hadir sebagai tanda kesungguhan dan komitmen terhadap perjuangan parti demi rakyat dan negeri Sabah.
“Kita berhimpun ini bukan untuk jalan-jalan atau makan angin, tetapi untuk menyambung ikrar, memantapkan ikhtiar dan menyusun rapi strategi agar kita memperoleh kemenangan besar dan cemerlang dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Dalam ucapannya, beliau menggesa seluruh kekuatan parti digembleng dan semangat muafakat diperkukuh agar Gagasan Rakyat kekal menjadi parti tempatan utama yang membawa masa depan cerah untuk Sabah.
“Demi pertanggungjawaban dan perjuangan atas nama parti tempatan Gagasan Rakyat yang kita sayangi, atas nama kecintaan terhadap bumi Sabah yang kita warisi, dan atas nama keprihatinan terhadap nasib serta masa depan rakyat yang kita kasihi, kita satukan semangat kita. Kita kukuhkan tekad dan bulatkan muafakat,” katanya.
Menurut beliau, gerak kerja akan diteruskan ke seluruh pelosok negeri termasuk kawasan-kawasan yang dikuasai pembangkang.
“Dari utara hingga ke selatan, timur ke barat Sabah bumi tercinta ini akan kita jelajahi. Kita akan gempur tembok-tembok pembangkang. Lawan tetap lawan!” katanya.
Hajiji menegaskan Gagasan Rakyat bukan sekadar sebuah parti politik, sebaliknya gerakan rakyat yang membawa aspirasi seluruh masyarakat Sabah tanpa mengira miskin atau kaya demi menikmati pembangunan dan kemakmuran secara adil dan saksama.