Kota Kinabalu : Sabah FC meneruskan momentum positif dalam siri perlawanan pra musim apabila berjaya menewaskan DPMM FC (Brunei) dengan keputusan 3-1 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Likas di sini malam tadi.
Jurulatih Sabah FC, Alto Linus menyifatkan kemenangan tersebut sebagai satu keputusan yang membanggakan namun menegaskan masih terdapat beberapa aspek permainan yang perlu diperbaiki menjelang sepak mula Liga Malaysia musim 2025/2026.
“Saya berpuas hati dengan persembahan semua pemain, sama ada mereka yang bermula di separuh masa pertama mahupun yang masuk sebagai pemain gantian. Mereka bermain mengikut apa yang saya harapkan,” katanya.
Beliau berkata, perlawanan ini merupakan sebahagian daripada usaha memantapkan kecergasan perlawanan (match fitness) pasukan sebelum tirai liga dibuka awal Ogos nanti.
“Secara keseluruhan saya gembira dengan corak permainan yang dipersembahkan, walaupun masih ada beberapa perkara yang perlu diperbaiki. Saya mahu semua pemain bersedia sepenuhnya dan terus kekal konsisten untuk mendapatkan keputusan positif dalam setiap perlawanan,” katanya.

Kemenangan ke atas DPMM FC melengkapkan dua kemenangan pra musim di laman sendiri, selepas Sabah FC membenam Kasuka FC 4-0 minggu lalu.
Sebelum itu, skuad The Rhinos mengalami kekalahan besar 2-8 di tangan Buriram United dalam aksi di Stadium Pattani.
Sabah FC dijadualkan terus mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan bagi memperkemas persiapan akhir menjelang kempen Liga Malaysia 2025/2026. – Chronivo / FOTO SABAH FC