HomeUtamaPeluasan bantuan SARA di PJRM bergerak, permudah akses rakyat luar bandar

Peluasan bantuan SARA di PJRM bergerak, permudah akses rakyat luar bandar

Read Time:1 Minute, 38 Second

Oleh Normimie Diun

RANAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Kementerian Kewangan (MOF) akan memperluaskan penggunaan Bantuan Sumbangan Asas RAHMAH (SARA) ke Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Bergerak dalam masa terdekat, bagi memudahkan penerima bantuan di luar bandar dan pedalaman membeli barangan keperluan asas.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif ini membolehkan bantuan SARA sebanyak RM100 secara one-off, yang telah dimasukkan ke dalam MyKad, digunakan bukan sahaja di premis-premis tetap tetapi juga di lokasi PJRM Bergerak di seluruh negara.

“Langkah ini dijangka memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat khususnya di kawasan yang tidak mempunyai akses kepada pasar raya besar atau kedai runcit terpilih,” katanya pada sidang media sempena Program Jelajah Karnival KPDN dan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) Siri 2 Zon Sabah di Ranau pada Sabtu.

Program selama tiga hari yang berlangsung dari 25 hingga 27 Julai itu dijangka menarik kehadiran seramai 60,000 pengunjung, sekali gus merakyatkan perkhidmatan kerajaan khususnya di bawah bidang kuasa KPDN.

Aizan berkata, setakat Julai 2025, kerajaan telah menyalurkan RM410 juta kepada 830,000 penerima Sumbangan Tunai RAHMAH (STR) di Sabah, manakala sebanyak RM500 juta telah diagihkan kepada 506,000 penerima SARA di negeri ini.

Beliau turut mengalu-alukan penambahan peruntukan RM2 bilion menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan STR dan SARA kepada RM15 bilion tahun ini, seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu.

“Peruntukan tambahan ini membolehkan kita melaksanakan 20,000 siri PJRM di seluruh negara bagi tahun ini, termasuk 2,276 siri di Sabah. Sehingga 26 Julai, sebanyak 1,089 siri telah berjaya dilaksanakan di negeri ini,” katanya.

Tambah beliau terdapat 14 kategori produk yang boleh dibeli menggunakan sumbangan SARA.

Dalam pada itu, Karnival KPDN 2025 menjadi platform memperkasa Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) dengan tema “Jom Beli Lokal”, yang menyokong pembangunan produk tempatan dan pertumbuhan ekonomi domestik.

Justeru, usaha ini bukan sahaja memperluaskan jaringan pasaran untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), malah mengurangkan kebergantungan kepada barangan import.

RELATED ARTICLES
Utama

Kenyataan Shafie Tentang Kes Zara Disifatkan Tidak Bertanggungjawab Dan Prejudis

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular