Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Ketua Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda menegaskan sudah tiba masanya wanita diberikan ruang yang lebih luas dalam politik dan pentadbiran negeri, termasuk menjadi ejen penyampai bantuan kerajaan secara langsung kepada rakyat.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Persidangan Agung Tahunan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
“Wanita bukan lagi sekadar perayu undi atau penyokong di belakang. Kita juga adalah pemimpin generasi ini yang bersedia membentuk dasar, membuat keputusan dan membawa Sabah ke tahap yang lebih tinggi.
“Jangan tunda perubahan ini. Masa depan tidak boleh kita tunggu lagi. Ia mesti dimulakan sekarang,” katanya di hadapan lebih 1,000 perwakilan parti yang hadir pada persidangan ituy.
Redonah turut menyuarakan tiga harapan utama daripada sayap Wanita, Beliawanis dan Pemuda parti, iaitu penambahan calon wanita dan pemuda dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang, peluang latihan kepimpinan termasuk lantikan sebagai senator, serta peranan rasmi sebagai ejen penyampai bantuan kerajaan dalam hal ehwal wanita, belia dan masyarakat.
Katanya, perkara itu penting bagi memperkasakan peranan golongan wanita dan belia yang selama ini sentiasa turun padang dan menyantuni rakyat sejak awal penubuhan parti.
Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan parti dan kerajaan negeri atas pelaksanaan pelbagai program yang memberi impak besar kepada pembangunan wanita dan belia, termasuk peruntukan melebihi RM21 juta menerusi agensi seperti Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JheWA), Yayasan Usaha Maju (YUM) dan Sabah Credit Corporation.
Katanya, pelaksanaan program seperti Ziarah Sayang sejak tahun 2023 membuktikan jentera wanita, belia dan pemuda Gagasan Rakyat sentiasa berperanan aktif di akar umbi termasuk mendekati mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
Beliau menegaskan bahawa Pilihan Raya Negeri ke-17 bakal menjadi penentu masa depan Sabah dan menyeru seluruh jentera parti untuk bersiap siaga menghadapi kemungkinan ia diadakan pada bila-bila masa.
“Persidangan ini bukan sekadar pertemuan tahunan, tetapi medan menyusun strategi menghadapi PRN. Kita mesti bangkit dengan satu hati, satu suara dan satu tekad.
“Pergerakan Wanita harus mendekati keluarga dan masyarakat, manakala Pemuda menjadi jambatan kepercayaan generasi muda. Kita bukan hanya tulang belakang parti, tetapi barisan hadapan dalam perjuangan,” katanya.