Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri kini sedang menerapkan kerangka penyelesaian pertikaian yang jelas, termasuk Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR), ke dalam transaksi berkaitan kerajaan, projek pembangunan dan perjanjian perolehan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata Pejabat Peguam Besar Negeri turut mengesyorkan agar klausa model Pusat Timbang Tara dan Mediasi Antarabangsa Borneo (BICAM) untuk mediasi dan timbang tara digunapakai dalam semua kontrak Kerajaan Negeri bagi mengelakkan gangguan terhadap pelaksanaan kontrak sekiranya berlaku pertikaian.
“Pertikaian perlu diurus secara profesional, cekap dan adil. Kita juga menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun untuk meneroka penggunaan mediasi sebagai langkah awal bukan sahaja untuk mengelakkan litigasi yang berpanjangan, tetapi juga untuk memelihara hubungan dan memberi tumpuan kepada hasil,” katanya.
Hajiji menyatakan demikian dalam ucapannya yang disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, semasa persidangan BICAM Global ADR Horizons 2025 di sini pada Khamis.
“Sabah bukan sahaja pintu masuk ke Borneo, kita terletak secara strategik di sepanjang koridor ekonomi penting di rantau Indo-Pasifik.
“Ketika perdagangan global menjadi semakin terintegrasi dan rantaian bekalan semakin bersifat serantau, Sabah berpotensi meraih manfaat daripada peningkatan pelaburan, aktiviti perindustrian dan pertumbuhan infrastruktur,” katanya.
Namun, beliau berkata pertumbuhan akan turut membawa cabaran kerumitan di mana kontrak menjadi semakin besar, kepentingan pihak berkepentingan semakin pelbagai, dan kemungkinan pertikaian akan timbul, maka disinilah ADR berperanan.
“Di peringkat ASEAN, kita menyaksikan kesegaraman yang lebih kukuh dalam amalan timbang tara, rejim penguatkuasaan yang semakin mantap, serta kemunculan institusi serantau yang mencerminkan budaya undang-undang dan realiti ekonomi kita sendiri.
“Sabah, melalui BICAM, berbangga menjadi sebahagian daripada evolusi global ini dengan menawarkan platform neutral yang selaras dengan piawaian antarabangsa,” katanya.
Kepada rakan kongsi dan pelabur antarabangsa, Hajiji berkata Sabah bukan sahaja bersedia dari segi sumber semula jadi dan peluang ekonomi, tetapi juga persekitaran perundangan dan institusi yang sesuai.
“Kehadiran pusat ADR bertaraf antarabangsa seperti BICAM menunjukkan hasrat kita untuk menjunjung kedaulatan undang-undang, menghormati kesucian kontrak, dan menyelesaikan pertikaian secara konstruktif” katanya.
“Persidangan ini amat bertepatan masanya kerana ia bertujuan memodenkan cara kita mengurus perbezaan, membina kepercayaan antara pihak, dan mewujudkan institusi yang berdaya tahan.
“Biarlah persidangan ini menjadi platform bukan sahaja untuk perkongsian ilmu, tetapi juga bagi menetapkan hala tuju dan mencari penyelesaian.
“Saya ingin menegaskan semula komitmen Kerajaan Negeri untuk meletakkan Sabah sebagai sebuah negeri yang bertanggungjawab, boleh dipercayai dan berorientasikan reformasi, baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa,” katanya. – Chronivo