HomeIsu tempatanKayuhan muhibah warnai KK Love Bike 2025

Kayuhan muhibah warnai KK Love Bike 2025

Read Time:1 Minute, 11 Second

Kota Kinabalu : Seramai 20 peserta terdiri daripada pelajar dan wakil agensi tempatan telah menyertai ‘KK Love Bike: Free Ride Tour & KK Harmony Ride’ ke beberapa buah ‘pit stop’ di sini baru-baru ini.

Acara berbasikal santai yang menjadi antara pengisian utama dalam program KK Komuniti Sejahtera: Leave No One Behind – Towards Sustainable Market (Siri 4) itu telah berlangsung di KK Sentral.

Peserta yang menyertai terdiri dari pelajar MSU College, Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP) Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) serta ahli Sabah Tourist Guide Association (STGA).

Kayuhan bermula dari bangunan KK Sentral dan melalui tiga ‘pitstop’ utama melambangkan kepelbagaian agama dan keharmonian masyarakat di Sabah.

Antaranya Gurdwara Sahib Sikh Temple, Masjid Negeri Sabah dan Sacred Heart Cathedral.

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam satu kenyataan memaklumkan, program itu bertujuan untuk memupuk semangat kesedaran sivik dan memperkukuhkan nilai perpaduan dalam kalangan komuniti pelbagai latar belakang.

“KK Love Bike ini bukan sekadar aktiviti riadah, tetapi membawa mesej mendalam tentang pentingnya perpaduan dan hidup bersama secara harmoni dalam kepelbagaian budaya dan agama,” menurut kenyataan itu.

Selain kayuhan, peserta turut berpeluang menyertai pelbagai taklimat berkaitan kesihatan dan keselamatan komuniti seperti pengenalan insurans oleh Takaful Malaysia, pengurusan sisa pepejal oleh DBKK menerusi aplikasi iBersih dan etika penggunaan tandas awam oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya.

Acara ini berjaya menyemai semangat kekitaan dan menjadi wadah memperkenalkan peranan komuniti dalam menjayakan pembangunan bandar yang mampan dan inklusif. – Chronivo / FOTO DBKK

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Mahasiswa UiTM himpun 180kg E-Waste, tingkat kesedaran alam sekitar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular