Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Sabah kini giat memperkukuh usaha bagi membolehkan Bandaraya Kota Kinabalu diiktiraf sebagai Kota Sastera UNESCO, sekali gus bakal menjadi bandar raya kedua di ASEAN memperoleh status berprestij itu.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, berkata pelbagai inisiatif telah dilaksanakan sejak tahun lalu untuk memenuhi syarat yang ditetapkan UNESCO, termasuk penerbitan karya, penglibatan komuniti penulis, perpustakaan aktif dan program berterusan.
“Saya bersama Datuk Seri Dr Sabin Samitah, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, dan rakan-rakan penulis hadir dalam satu program dua dalam satu malam ini iaitu memperkukuh gerakan ke arah pengiktirafan Kota Kinabalu sebagai Kota Sastera dan penyampaian bantuan Sumbangan Bahasa dan Sastera (SELASIH) tahun 2025.
“Alhamdulillah, syarat-syarat yang ditetapkan UNESCO sebahagian besarnya telah kita tunaikan. Kini kita hanya menanti hasil penilaian pihak UNESCO, insya-Allah hujung tahun ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Malam Manifestasi Ke Arah Pengiktirafan Kota Kinabalu Sebagai Kota Sastera dan Penyerahan Bantuan SELASIH di sini pada malam Rabu.
Menurut Mohd Arifin, inisiatif menjadikan Kota Kinabalu sebagai Kota Sastera bermula tahun lalu melalui kolaborasi pelbagai pihak termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Kajian Pembangunan (IDS) dan kerajaan negeri.
Beliau berkata, pengiktirafan ini bukan sahaja akan mengangkat martabat sastera dan bahasa, tetapi turut memberi impak besar dalam sektor pelancongan dan pembangunan intelektual di Sabah.
“Kita mahu menjadikan kota ini lebih hidup dan semarak dengan adanya aktiviti penulisan, penerbitan, puisi, cerpen, kritikan sastera serta rencana budaya dan bahasa,” ujarnya.
Menyentuh bantuan SELASIH, beliau berkata seramai 20 persatuan penulis, bahasa dan sastera menerima sumbangan tahun ini berbanding 15 tahun lalu, dan jumlah itu dijangka terus meningkat.
“Kita galakkan sebahagian daripada sumbangan ini digunakan sebagai dana untuk menerbitkan karya. Ini bukan sahaja menyemarakkan sastera tempatan, tapi juga membantu penulis menghasilkan lebih banyak bahan ilmiah dan kreatif,” katanya.
Mohd Arifin yang turut memegang portfolio Exco Pendidikan dan Exco Agama yakin bahawa impian untuk melihat Kota Kinabalu bergelar Kota Sastera UNESCO akan menjadi kenyataan, selari dengan aspirasi menjadikan Sabah sebagai pusat pembangunan budaya, bahasa dan intelektual di rantau ini.