Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang ibu tunggal warga Filipina dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas mengaku bersalah membenarkan anak lelakinya yang berusia sembilan tahun berada di jalanan bagi tujuan menjual buah-buahan.
Tertuduh, Awala Antualang, 47, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Noor Hafizah Mohd Salim.
Pada 26 Mac lalu, wanita yang menggunakan Kad Burung-Burung sebagai dokumen pengenalan diri, pernah dijatuhi hukuman penjara dan denda kerana membenarkan tiga kanak-kanak di bawah jagaannya menjual buah di jalanan hampir 12 jam sehari.
LINK BERITA TERDAHALU:https://chronivo.my/2025/03/26/ibu-tunggal-dipenjara-9-tahun-kerana-benarkan-kanak-kanak-jalan-jual-buah-di-jalanan/
Bagi kes kali ini, tertuduh mengaku membenarkan anak lelakinya berada di kawasan sekitar Kedai Sup Ikan Kepayan bagi maksud menawarkan buah-buahan untuk jualan antara Januari dan Februari tahun ini, dari jam 12.30 tengah hari hingga 10 malam.
Dia didakwa mengikut Seksyen 32(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 32(1) Akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas Awala bermula dari tarikh tangkapan iaitu 27 Februari 2025, serta merujuknya kepada Jabatan Imigresen sebaik tamat menjalani hukuman.
Sejak awal tahun 2025 hingga kanak-kanak itu diselamatkan pada 27 Februari lalu, mangsa yang tidak pernah bersekolah itu bekerja untuk ibunya dengan menjual buah-buahan di sekitar kawasan Kedai Sup Ikan Kepayan, Kota Kinabalu, bermula jam 12.30 tengah hari hingga 10 malam.
Kanak-kanak tersebut akan diberi rehat dua jam pada sekitar jam 3 petang dan menyambung semula aktiviti menjual pada jam 5 petang hingga 10 malam.
Buah-buahan yang dijual dibekalkan oleh tertuduh. Hasil jualan harian dianggarkan RM210 hingga RM300 sehari dan semua duit hasil jualan akan diserahkan kepada tertuduh.
Mangsa hanya diberi cuti sehari dalam seminggu dan diberi upah oleh tertuduh dengan jumlah yang tidak menentu.
Dalam rayuannya, Awala yang sedang menjalani hukuman penjara memohon hukuman diringankan dengan alasan dia merupakan ibu tunggal kepada sembilan anak.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus memohon mahkamah mengenakan hukuman berat sebagai pengajaran kepada masyarakat supaya tidak melakukan kesalahan serupa.
Beliau menegaskan bahawa masyarakat perlu memahami Akta Kanak-Kanak 2001 mengiktiraf hak setiap kanak-kanak untuk dilindungi dalam apa jua keadaan, tanpa mengira bangsa, asal-usul sosial atau status.