HomeUtamaWanita buang bayi dipenjara 6 bulan, denda RM2,000

Wanita buang bayi dipenjara 6 bulan, denda RM2,000

Read Time:1 Minute, 41 Second

Oleh J. Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal bayar denda, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki dua tahun lalu.

Armaya Matjani, 22, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.

Dia melakukan kesalahan itu dengan membungkus bayi yang baru dilahirkannya menggunakan plastik biru dan menyembunyikannya di belakang tangki air tandas, di sebuah homestay di Aeropod, Tanjung Aru, antara 1 hingga 2 November 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh sabitan 21 Julai. Difahamkan tertuduh gagal membayar denda.

Mengikut fakta kes, kejadian terbongkar pada 6 November 2023 apabila pengadu dimaklumkan oleh pekerjanya tentang bau seperti bangkai dari ruang bahagian belakang tandas homestay.

Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat satu plastik warna biru yang kembung dan berbau busuk, terdapat kesan darah dan kelihatan seperti ada tali pusat bayi baru lahir. Pengadu kemudiannya membuat laporan polis.

Siasatan lanjut mendapati seorang wanita, iaitu tertuduh, menginap di bilik tersebut dari 1 hingga 2 November 2023.

Tertuduh dilihat dalam keadaan mengandung semasa daftar masuk, namun perutnya kelihatan telah kempis ketika mendaftar keluar.

Pemeriksaan Unit Forensik menemui mayat bayi lelaki yang cukup sifat lengkap dengan tali pusat dan uri. Doktor mengesahkan bayi itu telah meninggal dunia pada jam 5.28 petang dan mayat kemudian menjalani proses bedah siasat.

Semasa rayuan, tertuduh yang kelihatan tenang hanya memohon hukuman ringan dan meminta penangguhan hukuman kerana mempunya kerja yang perlu dibuat.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Kareena Kaur Gill Karamjit Singh memohon agar hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kepada orang ramai, memandangkan kes ini melibatkan kepentingan awam.

Tambahnya, perbuatan tertuduh membuang bayi yang baru dilahirkan adalah satu tindakan tidak berperikemanusiaan.

Malah, tindakan tertuduh menempah bilik, menginap dan menyembunyikan kelahiran bayi itu jelas menunjukkan bahawa perkara ini telah dirancang.

Ketika majistret bertanya, tertuduh menjawab dia belum berkahwin dan dia juga tidak mengetahui keberadaan “pasangannya”.

RELATED ARTICLES
EnglishUtama

‘Reckless, Dangerous and Disgusting’: Lawyers Hit Back at Shafie Over Zara...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular