Kota Kinabalu : Orang ramai dipelawa untuk hadir memeriahkan program Jelajah Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) 2025 dan Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Sabah yang akan berlangsung di daerah Ranau.
Program selama tiga hari bermula 25 Julai ini akan diadakan bertempat di perkarangan Kompleks Sukan Ranau.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Sabah Peter J Berinus Agang berkata, pelbagai acara akan diadakan sepanjang berlangsungnya siri kedua program itu pada tahun ini.
“Sepanjang tiga hari pelaksanaan Jelajah Karnival KPDN ini, pengunjung akan disajikan dengan pelbagai aktiviti dan pengisian. Antaranya adalah, advokasi kepenggunaan, khidmat nasihat dan pendaftaran pelbagai perkhidmatan Kementerian dan agensi seperti ReDI, Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH, aplikasi Price Catcher, pendaftaran perniagaan SSM dan macam-macam lagi.
“Selain itu, turut diadakan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang merupakan satu inisiatif yang akan membantu pengusaha tempatan dalam memasarkan produk dan perkhidmatan mereka dan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara.
“Turut diadakan program jualan RAHMAH MADANI yang menawarkan barangan keperluan harian dengan 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temubual bersama Sabah FM di sini pada Selasa.
Peter berkata, semua fungsi dan peranan KPDN akan diterjemahkan melalui aktiviti-aktiviti dan pengisian yang akan dijalankan sepanjang Jelajah Karnival ini berlangsung.
Katanya, pengunjung akan didedahkan mengenai pelbagai perkara berhubung kepenggunaan, KBBM, Inisiatif Payung RAHMAH yang merangkumi Jualan RAHMAH MADANI dan Menu RAHMAH serta penguatkuasaan, perdagangan dalam negeri yang dijalankan oleh Kementerian ini.
Sementara itu, Peter berkata, pihaknya berharap agar Jelajah Karnival KPDN itu dapat mencapai objektifnya dalam memberi kefahaman kepada rakyat Malaysia berkaitan fungsi dan peranan serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh KPDN.
Selain itu katanya, program itu turut menerapkan ilmu kepenggunaan demi melahirkan masyarakat pengguna yang berdaya upaya. – Chronivo