Putrajaya : Kerajaan komited menyasarkan perbelanjaan subsidi negara dengan rakyat biasa kekal menikmati subsidi sementara menangani ketirisan kepada mereka yang tidak layak.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penstrukturan tarif elektrik telah berkuat kuasa mulai Julai 2025.
“Kendatipun ada pihak tidak bertanggungjawab mendakwa tarif elektrik dinaikkan, hakikatnya, 85 peratus pengguna domestik menikmati penurunan bil elektrik Julai 2025 bagi penggunaan yang sama ketimbang separuh tahun pertama 2025 iaitu sehingga 14 peratus.
“Seterusnya, Kerajaan kekal dengan perancangan menyasarkan subsidi petrol RON95 dengan perincian bakal diumumkan menjelang akhir September 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penghargaan untuk rakyat Malaysia di sini pada Rabu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, seperti pendekatan penyasaran subsidi elektrik, Kerajaan turut beri jaminan bahawa rakyat biasa tidak akan terjejas.
“Sukacita saya umumkan harga petrol RON95 akan turun untuk rakyat. Rakyat Malaysia akan menikmati harga RON95 lebih rendah iaitu RM2 seliter.
“Ini tentunya beri manfaat sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig.
“Pada masa yang sama, mereka yang tidak layak seperti warganegara asing perlu untuk membayar pada harga pasaran tanpa subsidi,” katanya.
Menurutnya, pendekatan bersasar ini sejajar dengan ikhtiar Kerajaan untuk mengoptimum sumber negara bagi manfaat rakyat, dan mengurangkan pembaziran subsidi.
“Bagi tahun 2023 dan 2024, subsidi RON95 sahaja dianggarkan menelan belanja hampir RM20 bilion setahun.
“Sungguhpun tahun ini harga minyak dunia mengalami penyusutan, harga petrol RON95 tanpa subsidi masih sekitar RM2.50 seliter jauh lebih tinggi daripada harga bersubsidi untuk rakyat,” katanya. – Chronivo