Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited memperkasakan sektor industri kreatif sebagai pemacu ekonomi baharu dan pemangkin pembangunan naratif budaya Borneo ke peringkat nasional dan antarabangsa, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Tumpuan itu selaras dengan Pelan Induk Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memberi perhatian kepada pembangunan ekonomi digital dan industri berasaskan pengetahuan, termasuk kandungan kreatif,” katanya pada Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima Dana Kandungan Kreatif (DKK) Sabah di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang hadir mewakili beliau dalam majlis itu.
Tambahnya lagi, antara inisiatif utama ialah menaik taraf fasiliti kreatif serta menyokong penubuhan pusat latihan dan inkubator kandungan di Kota Kinabalu, Keningau dan Sandakan, melalui kerjasama dengan agensi Persekutuan seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
“Dana Kandungan Kreatif (DKK) yang disediakan FINAS penting untuk membantu penggiat seni menghasilkan kandungan beridentitikan Sabah, sekali gus mengangkat cerita rakyat, sejarah dan kepelbagaian bahasa sukuan kepada khalayak lebih luas,” katanya.
Hajiji berkata, inisiatif DKK yang diperkenalkan oleh Kementerian Komunikasi dan FINAS membuka ruang kepada rakyat Sabah mengetengahkan kisah dan warisan mereka melalui pelbagai medium termasuk filem, dokumentari dan program televisyen.
“Sabah mempunyai kepelbagaian sosiobudaya luar biasa dengan lebih 30 etnik dan lebih 200 sub etnik. Ini menjadikan Sabah sebagai antara wilayah terkaya dari segi budaya lisan, visual dan naratif yang wajar dijadikan sumber kandungan autentik.
“Keindahan semula jadi Sabah sama ada darat, laut mahupun pergunungan turut memberi kelebihan besar untuk diterjemahkan dalam kandungan kreatif yang mampu menarik minat penonton tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta warga kementerian dan FINAS atas pemilihan Sabah sebagai lokasi program berimpak tinggi itu, yang disifatkan sebagai bukti kesungguhan Kerajaan Persekutuan memperluas ekosistem kreatif negara di luar Lembah Klang.
Katanya, usaha ini bukan sahaja mengiktiraf potensi Sabah dan Sarawak sebagai lokasi penggambaran, malah sebagai pusat penciptaan kandungan berkualiti tinggi.
“Inisiatif seperti Dana Program TV (Borneo) dan Dana Dokumentari bersama BORNEO TV merupakan langkah strategik yang meletakkan Borneo sebagai jantung kandungan segar dan asli. Kita mahu melihat lebih banyak karya kreatif lahir dari bumi Borneo bukan sahaja untuk Malaysia, malah untuk dunia,” katanya.
Hajiji turut memuji pencapaian anak muda Sabah dalam menghasilkan karya berkualiti menerusi platform seperti Sabah Film Lab, Mini Film Fest dan Festival Filem Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIFF) yang berjaya menarik perhatian juri dalam dan luar negara.
“Saya menyeru lebih ramai anak muda, khususnya dari luar bandar, supaya berani mencuba dan memanfaatkan peluang dana ini. Kisah kampung halaman, sejarah keluarga dan budaya tempatan boleh menjadi karya besar jika diterjemahkan dengan baik,” katanya.
Beliau turut menegaskan pentingnya kandungan kreatif dimanfaatkan sebagai jambatan perpaduan, inspirasi pembangunan dan cerminan budaya Sabah dalam kerangka Malaysia MADANI.