Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: “Jangan mencuri lagi,” nasihat Majistret kepada dua lelaki termasuk seorang bapa tunggal yang dijatuhi hukuman penjara selama 14 hari kerana mencuri pelbagai jenis barangan makanan bernilai RM153.90.
Abdillah Dumek, 42, dan Mohammad Salleh, 43, yang mendakwa “terpaksa mencuri” tiga biskut jenama Biscoff, dua tin ‘Corned Beef’, sebotol minyak zaitun (Naturel), sekotak teh Boh dan dua kiub pati tomyam pada 29 Jun lalu sekitar jam 7 malam di The Stop N Shop, Penampang.
Mereka membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Marilyn Kelvin, hari ini.
Abdillah dan Mohammad didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Semasa rayuan, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Lim Ming Zoong @ Lawrence, memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan kedua-dua tertuduh berada dalam keadaan terdesak.
Menurutnya, Abdillah yang bekerja sebagai buruh kasar merupakan bapa tunggal kepada dua anak, manakala Mohammad tidak mempunyai pekerjaan serta menanggung seorang isteri dan empat anak.
Mengenai cadangan hukuman antara tiga hingga lima bulan oleh sistem Kecerdasan Buatan (AI), Lim berkata AI tidak dapat mempertimbangkan keterdesakan dan beban kewangan yang dialami oleh kedua-dua tertuduh.
“Kedua-dua tertuduh tidak bertindak atas kepentingan peribadi, sebaliknya demi menampung keperluan keluarga dalam keadaan ekonomi yang mencabar dan kos sara hidup yang meningkat,” katanya.
Manakala Inspektor Yusdi Basri yang mengendalikan pendakwaan memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal dan tidak mempunyai bantahan terhadap cadangan hukuman AI.
Menjawab pertanyaan mahkamah, Yusdi mengesahkan bahawa semua barang kes berjaya dirampas, tiada unsur keganasan, dan kedua-dua tertuduh memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis.
Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan, manakala semua barang kes dikembalikan kepada pemilik asal.
Terdahulu, mahkamah dimaklumkan bahawa seorang pekerja menyedari kelibat dua lelaki mencurigakan berlegar-legar dalam premis sebelum memaklumkan perkara itu kepada pengadu.
Pengadu kemudian meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati kedua-dua tertuduh memasukkan barang-barang tersebut ke dalam beg sebelum keluar dari premis tanpa membuat sebarang pembayaran. Jumlah kerugian dianggarkan sekitar RM153.90.
Pengadu bersama beberapa pekerja bertindak menahan kedua-dua tertuduh dan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.